09 Ogos 2012

Rugi RM20,000 penangan ribut

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KG PAYA LUAS - Seorang peniaga kedai runcit kerugian RM20,000 apabila tiga peti sejuk dan barangan runcit di kedainya rosak akibat kejadian ribut yang berlaku kira-kira jam 6.30 petang, kelmarin.

Sahfri Rais berkata, dalam kejadian itu dia sudah menutup operasi perniagaannya untuk bersiap-siap bagi berbuka puasa.

Menurutnya, ketika itu keadaan awan sangat gelap dan ketika sibuk menyediakan juadah berbuka, angin kencang bertiup secara tiba-tiba lalu menyebabkan beberapa keping zink bumbung diterbangkan angin.

“Selepas itu hujan lebat dan saya tidak sempat menyelamatkan barangan dalam kedai.

“Kejadian ini memang di luar dugaan dan ia berlaku secara tiba-tiba. Nasib baik ketika itu kedai sudah tutup, kalau tidak bimbang juga keselamatan orang ramai yang datang membeli barang di sini,” katanya.

Sinar Harian difahamkan selain kedai runcit itu, sebuah rumah penduduk juga menerima nasib sama dan beberapa batang pokok tumbang di jalan utama.

Sahfri yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkata, dia berterima kasih kepada agensi terlibat dan penduduk kampung yang bergotong-royong membersihkan pokok tumbang.

Menurutnya, tindakan pantas itu membolehkan penduduk keluar masuk tanpa sebarang halangan.

“Walaupun ribut kali ini tidaklah seteruk mana, namun kita bersyukur kerana ia tidak melibatkan banyak kerosakan lain.

"Jika tidak pasti penduduk akan berasa sedih kerana Aidilfitri tidak berapa lama lagi,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: