09 Ogos 2012

Tema Merdeka: Pemuda PAS bidas Khairy

20 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS WP (DPPWP) membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin kononnya Malaysia akan kucar-kacir sekiranya diperintah oleh pihak pembangkang.

Kenyataan Khairy itu dikeluarkan semalam merujuk kepada penggunaan tiga tema berbeza Hari Kebangsaan oleh negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang dan Selangor yang disifatkannya sebagai tidak sependapat.

Khairy juga menyifatkan Pakatan kini seperti raksasa dalam mitos Yunani yang mempunyai banyak kepala di satu badan.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan semalam, kesemua negeri-negeri ini telah bersetuju untuk menggunakan tema sama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa yang diputuskan Pakatan Rakyat.

Membidas kenyataan Khairy itu, Ketua DPPWP Kamaruzaman Mohamad berkata pentadbiran Umno BN lah yang sebenarnya menyebabkan Malaysia semakin kucar-kacir dan huru-hara.

"Selama lebih 50 tahun mentadbir Malaysia, statistik jenayah semakin meningkat. Ditambah pula dengan kos sara hidup yang kian menjerut leher setiap rakyat Malaysia. Korupsi di setiap peringkat semakin lama semakin membarah.

"Semakin hari semakin banyak skandal pemimpin UMNO/BN didedahkan. Ini sekaligus membuktikan bahawa Umno BN merupakan pemangkin ke arah Malaysia yang kacau bilau dan kucar kacir," katanya.

Berbeza dengan Pakatan, kemampuan mentadbir telah dibuktikan apabila pelbagai isu negeri yang sebelum ini tidak dapat diselesaikan oleh BN, telah dapat diselesaikan oleh pihak Pakatan Rakyat dengan bijak.

"Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa hutang kerajaan negeri mampu dilunaskan dalam jumlah yang besar dengan hanya beberapa tahun memerintah. Ia berbeza dengan negeri yang diperintah oleh Umno BN. Kian hari kian bertambah hutang.

"Sebagai contoh lagi, Selangor mampu memberikan perkhidmatan air percuma kepada rakyatnya, Pulau Pinang juga telah memberikan kenaikan elaun guru kafa. Semua ini tidak ada di zaman pemerintahan Umno BN dahulu. Jadi, di mana bukti Malaysia akan kucar-kacir sekiranya ditadbir oleh Pakatan Rakyat?

Kelantan sebelum ini dilaporkan telah memutuskan lebih awal untuk menggunakan tema 'Menerajui Perubahan', manakala Kedah 'Terus Berbakti' dan Pulau Pinang 'Budaya Bersih Merdekakan Rakyat'.

Bagaimanapun selepas Pakatan Rakyat memutuskan tema bersama iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa, kesemua negeri-negeri tersebut bersetuju untuk menggunakan tema bersama itu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: