29 Ogos 2012

Bot terbakar, rugi RM170,000

10 Syawal 1433H. [MOD] -

PERLIS – Hasrat seorang nelayan untuk ke laut tidak kesampaian apabila bot miliknya terlibat dalam satu kebakaran di Kuala Sungai Baru, di sini, pagi semalam.

Kebakaran terbabit yang berlaku kira-kira jam 5.33 pagi berhampiran sebuah Restoran Ikan Bakar di situ melibatkan tiga buah bot.

Pemilik, Shahbani Desa, 42, berkata, dia yang dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang dikejutkan dengan panggilan seorang rakan yang memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 5.50 pagi.

Menurutnya, dia tidak menyangka bot miliknya akan terlibat dalam kebakaran memandangkan sebelum ini kejadian sebegitu tidak pernah berlaku sejak dia meletakkan botnya di Kuala Sungai Baru empat tahun lalu.

“Semasa rakan saya menelefon saya, ketika itu saya sudah berada di Alor Setar. Saya terus bergegas ke sini, namun bot saya sudah musnah terbakar.

“Cadangnya esok saya akan ke laut, memandangkan saya bercuti sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Nampaknya buat masa ini saya terpaksa berhenti seketika ke laut untuk membaiki semula bot saya yang pastinya memerlukan sejumlah kos yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Kuala Perlis, Mohamad Abu berkata, pihaknya mendapat panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.33 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.

Menurutnya, operasi itu melibatkan satu jentera dengan lima anggota dari Balai Bomba Perlis dan api dapat dipadamkan kira-kira jam 6.25 pagi.

Mohamad berkata, anggaran kemusnahan ialah sebanyak 50 peratus dan bagi pemilik bot Shahbani Desa, anggaran kerugian bagi kedua-dua buah bot bersaiz besar RM130,000 manakala anggaran jumlah harta pemilik bot sebanyak RM170,000.

Di fahamkan, pemilik bot kecil masih belum dikenal pasti dan kebakaran dapat dikawal sebelum ia merebak ke kawasan lain.

Tiada ulasan: