29 Ogos 2012

Dunia Askar Amerika bakar al-Quran dihukum

10 Syawal 1433H. [MOD] -

Anggota kencing mayat militan Taliban turut didenda

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat mengenakan tindakan disiplin terhadap enam askarnya yang merakam video memaparkan aksi anggota Marin kencing mayat militan Taliban dan membakar al-Quran, dua kejadian yang mencetuskan kemarahan di Afghanistan awal tahun ini.
Hukuman itu mungkin termasuk notis membidas mereka atas kesalahan itu, diturunkan pangkat atau gaji dirampas. Namun, tidak dapat dipastikan adakah ia memenuhi tuntutan Afghanistan yang mahukan keadilan.

100 al-Quran dibakar

Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, sebelum ini menganggap tindakan anggota Marin dalam video itu tidak berperikemanusiaan dan menggesa diadakan perbicaraan umum ke atas tentera yang membakar al-Quran.

Siasatan terperinci tentera menunjukkan 100 al-Quran dan teks agama daripada perpustakaan di pusat tahanan dibakar pada 20 Februari.

Siasatan juga mendapati amaran daripada penduduk Afghanistan, termasuk seorang tentera Afghanistan, tidak dilayan dan kejadian disifatkan sebahagian punca askar Afghanistan dan Amerika saling tidak mempercayai.
“Namun, saya menolak kenyataan mereka yang terbabit tidak menghormati al-Quran atau memfitnah Islam,” kata pegawai penyiasat, Brigadier Jeneral Bryan Watson.

Persoalan mengenai rasa tidak percaya antara tentera Amerika dan Afghanistan semakin menjadi tumpuan disebabkan serangan membabitkan orang dalam, apabila askar tempatan dipercayai menyerang sekutu antarabangsa mereka.

Tak yakin pada AS

Keadaan itu mengurangkan keyakinan terhadap strategi Amerika bergantung kepada usaha melatih tentera Afghanistan untuk mengambil alih tugas menjaga keamanan, ada kalanya membabitkan hanya beberapa askar yang keluar bersama tentera Afghanistan meronda lokasi terpencil.

Kebanyakan tentera Amerika dijangka meninggalkan Afghanistan menjelang 2014.
Kejadian membakar al-Quran menyebabkan rusuhan beberapa hari dan askar Amerika diserang selepas pekerja tempatan menemui helaian kitab suci yang terbakar dalam sampah di pangkalan Bagram, utara Kabul.

Sekurang-kurangnya 30 maut dalam keganasan di seluruh Afghanistan selepas kejadian itu manakala dua pegawai tentera Amerika ditembak mati. - Reuters

Tiada ulasan: