29 Ogos 2012

Rumah terbakar ketika beraya

10 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Sebuah keluarga di Kampung Paya Bungor di sini bernasib baik apabila terselamat daripada rentung dijilat api setelah rumah yang didiami terbakar, kelmarin.

Mohd. Rael Mahidin, 47, berkata, ketika kejadian dia sekeluarga tiada di rumah kerana pergi beraya di rumah saudaranya dan terkejut apabila melihat api sedang marak sejurus selepas balik ke rumah.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 2.30 petang pada Ahad lalu apabila mereka terkejut melihat sebahagian ruang rumah mereka sudah terbakar.

“Kami bernasib baik apabila tangki air yang berada di atas siling pecah dan membantu memadamkan kebakaran daripada terus merebak.

“Bagaimanapun, banyak barang yang sudah musnah dijilat api,” katanya.

Sementara itu, nasib keluarga ini mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang menghulurkan bantuan kepada mereka di sini.

Keluarga mangsa terbabit menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Abdul Manan dan barang keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Abdul Manan ketika ditemui berkata, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban yang ditanggung meskipun mereka masih berasa trauma akibat kejadian tersebut.

"Saya bersyukur kerana tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Namun saya berharap penduduk harus lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama dalam keadaan cuaca yang panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kebakaran mudah berlaku.

“Malang tidak berbau, oleh itu, sebelum kita keluar rumah, pastikan terlebih dahulu peralatan elektrik telah dipadamkan dan juga segala kemungkinan lain yang boleh menyebabkan musibah seumpama ini berlaku,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Mohd. Shohaimi Jusoh.

Mohd Shohaimi berkata, dia simpati dengan nasib yang menimpa keluarga ini pada saat semua orang Islam sedang bergembira menyambut kemeriahan Syawal.

"Saya harap selepas ini ada lagi pihak yang datang untuk menyumbangkan keperluan kepada mereka bagi memastikan kehidupan mereka tidak terjejas dengan kejadian tersebut.

“Kita akan membantu meringankan beban mereka dan semoga mereka boleh teruskan kehidupan mendatang dengan lebih baik lagi dan menjadikan kejadian ini sebagai iktibar,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: