07 Ogos 2012

Tiga Dihukum Denda Tampal Poster Hina Guan Eng & Ambiga

18 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Hukuman tampal poster menghina

KUALA LUMPUR: Tiga sahabat didenda masing-masing RM700 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas mengaku salah atas tuduhan menampal poster mengandungi gambar dan perkataan berunsur penghinaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S Ambiga, Februari lalu.

Majistret Zulkpli Abdullah memutuskan demikian terhadap kerani hospital, Muhammad Nizam Ali, 24, pemandu, Hamzah Mahmood, 32 dan juruteknik, Shahir Saarani, 30, selepas mereka menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah, semalam. Ketiga-tiga tertuduh turut berdepan dengan hukuman penjara 14 hari sekiranya gagal membayar denda.

Bagaimanapun dua lagi tertuduh, juruteknik, Mohd Norizam Che Othman, 31 dan peniaga, Mohd Jamil Jamaluddin, 36, masih mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, semua mereka bersama lima lagi yang masih bebas didakwa melakukan kesalahan itu dengan menampal di tempat awam poster mengandungi gambar dan perkataan sedemikian di Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, di sini, jam 3.40 pagi, pada 4 Februari 2012.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(2)(a) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -hm

Tiada ulasan: