10 September 2012

Anak akan lapor polis dakwaan salah laku Faizoull

23 Syawal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang didakwa dilakukan bakal Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad pernah diadukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Aduan yang dikatakan dibuat oleh kakitangan Felda itu sendiri merupakan sebahagian daripada penyalahgunaan kuasa yang didakwa dilakukan Faizoul ketika menjadi Timbalan Pengarah Besar Felda.

Perkara itu didedahkan Presiden Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman, pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, hari ini.

Menurut Mazlan, aduan kepada SPRM itu dibuat pada 27 Julai lalu, dan salinan aduan-aduan tersebut dikirimkan kepada beliau sebagai maklumat.

Bagaimanapun, tegas beliau, pihaknya tidak tahu sejauh mana siasatan terhadap aduan yang dipercayai membabitkan penyalahgunaan dana itu dijalankan SPRM.

"Tujuh aduan itu boleh dikatakan hanyalah sebahagian dari penyelewengan yang dilakukan Faizoull ini. Di tangan saya masih ada 10 lagi aduan salah guna kuasa beliau yang akan saya dedahkan satu ketika nanti," tegas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan polis berhubung salah laku Faizoul itu dalam masa terdekat, biarpun pada awalnya tidak berniat untuk berbuat demikian.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: