10 September 2012

Lynas: AELB didakwa terburu-buru lulus TOL

23 Syawal 1433H. [MOD] -

KUANTAN: PAS Pahang melahirkan rasa kecewa kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) kerana dilihat terburu-buru meluluskan lesen operasi sementara kepada Lynas walaupun mahkamah Kuantan sudah membenarkan penilaian semula.

Pada 28 Ogos tempoh hari, Mahkamah Tinggi Kuantan membenarkan penilaian semula ke atas keputusan menteri dari MOSTI iaitu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili kerana menolak rayuan kumpulan Anti-Lynas pada bulan jun yang lalu.

AJK BPPNP merangkap pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang yang juga merupakan pengerusi Stop Lynas Coalition(SLC) Andansura Rabu (gambar bawah) berkata, beliau melahirkan rasa terkejut dengan keputusan terburu-buru AELB itu.

"Lebih-lebih lagi keputusan itu dilihat seolah-olah menghina keputusan mahkamah kuantan, ditambah pula dengan kes rayuan Stop Lynas Coalition (SLC) yang akan didengar mahkamah 10hb september ini," katanya.

Keputusan AELB itu disifatkan beliau tidak masuk akal dan amat memalukan bagi sebuah agensi dan kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah alam sekitar.

"Keputusan terburu-buru seperti itu akan mendorong persepsi negatif dari pihak awam bahawa AELB seolah-olah berkhidmat untuk lynas dan bukan untuk rakyat," katanya.

Ketika pihaknya masih tertanya-tanya halatuju MOSTI sama ada ingin melupuskan sisa buangan radioaktif mereka melalui 'Permanent Disposal Facility' (PDF) atau dihantar kembali ke Australia termasuklah pelan terperinci pengurusan sisa berjadual dari LYNAS itu, MOSTI melalui AELB sanggup mengambil keputusan terburu-buru seperti ini.

"Sudah terang lagi bersuluh, kerajaan Umno dan BN khususnya MCA tidak pernah mengambil kira soal nyawa rakyat, malah meletakkan keuntungan ekonomi yang tidak setimpal itu.

"Dengan pengecualian cukai selama 12 tahun serta peluang pekerjaan kepada hanya 300 orang sahaja melebihi kepentingan hampir 900,000 ribu nyawa rakyat kuantan," ujar beliau sambil memberi jaminan bahawa PAS negeri akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap MOSTI khususnya AELB dan Lynas.

Ketua Penerangan PAS Pahang yang juga merupakan Timbalan Pengarah II Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery(Badar), Ustaz Suhaimi Md. Saad (gambar) ketika dihubungi pula berkata tindakan AELB ini mirip tindakan sama yang dibuat AELB di Bukit Merah satu ketika dahulu.

"Seolah-olah tindakan seperti ini sudah dirancang terlebih awal untuk mengelak kesan ekonomi yang berpanjangan kepada Lynas," kata Suhaimi.

"Kita dimaklumkan saham Lynas sudah menjunam teruk semenjak tahun lepas, lebih dari AUD2.00 kepada AUD0.82 hari ini.

"Oleh kerana itu, mungkin AELB cuba menyelamatkan Lynas," ujar beliau yang menyeru seluruh rakyat Kuantan dan di seluruh negara untuk bangkit membantah keputusan AELB dan MOSTI ini termasuklah menukar pemerintah yang sedia ada sebagai satu-satunya pilihan atau alternatif akhir untuk menutup Lynas.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: