10 September 2012

Peneroka hilang sabar

23 Syawal 1433H. [MOD] -

Penduduk Felda Jengka 20 mengambil kesempatan membasuh motosikal menggunakan air yang mengalir dari paip pecah.

JENGKA - Sudah cukup bersabar dengan masalah bekalan air, kini peneroka Felda Jengka 20 terpaksa berhadapan pula dengan masalah paip pecah setiap hari sejak Ramadan lalu.

Pada asalnya mereka hanya mahu mendiamkan diri, namun setelah kejadian paip pecah kerap berlaku, mereka mula hilang sabar kerana ia turut menimbulkan masalah lain.

Jamhari Hashim, 62, berkata, masalah paip pecah itu berlaku di beberapa kawasan di tanah rancangan tersebut.

Menurutnya, di hadapan klinik desa contohnya, sudah tiga kali paip di tempat sama pecah.

"Selain di situ, paip pecah juga berlaku di sebelah dewan serba guna, di masjid dan beberapa kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Hassan Karta, 53, berkata, paip pecah itu bukan sahaja menyebabkan jalan rosak dan berlubang, malah mengakibatkan ketiadaan air di tanah rancangan terbabit.

“Apabila paip pecah, mereka terpaksa gali lubang untuk baiki paip berkenaan menyebabkan beberapa jalan di tanah rancangan ini rosak, malah akan berlaku pembaziran air.

“Kami pula akan terputus bekalan air dan ia menyusahkan kami untuk melakukan urusan harian,” katanya.

Program terganggu

Timbalan Pengerusi Masjid Felda Jengka 20, Muslihat Harus, 65, berkata, masalah paip pecah itu telah mengganggu program bersama bakal jemaah haji Jengka yang menghadiri program Qiamullail dan persediaan haji di tanah rancangan tersebut.

“Disebabkan paip pecah, air di masjid tidak ada menyebabkan peserta terpaksa ambil wuduk gunakan air botol mineral.

“Lebih memalukan apabila banyak acara yang dirancang tergendala kerana tiada air. Kami selaku tuan rumah rasa sangat terkilan,” katanya.

Biarpun berang dengan masalah yang menimpa, penduduk bagaimanapun berterima kasih kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) kerana bertindak pantas menyelesaikan masalah paip pecah itu.

Tukar segera paip lama

Wan Halim Wan Mahmud, 60, berkata, mereka bersimpati dengan petugas Paip yang terpaksa bekerja ketika Aidilfitri dan cuti umum untuk mengatasi masalah terbabit.

Katanya, masalah itu tidak akan selesai selagi paip yang dibina sejak 1975 tidak diganti dengan paip baru.

“Sebelum ini kita dengar pihak atasan beberapa kali umumkan bajet, selain berjanji akan tukarkan paip lama dengan yang baru.

“Namun sehingga ini, apa yang dikatakan masih belum terlaksana. Jika ia diganti baru, pasti dapat menjimatkan kos baik pulih yang menelan belanja lebih tinggi,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: