04 September 2012

Penyelia PWB mendapat elaun tetap

16 Syawal 1433H. [MOD] -

(Penyelia dan penyelaras PWB bergambar dengan isteri MB Selangor)

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyediakan elaun RM750 sebulan untuk penyelia dan penyelaras Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi melancarkan lagi aktiviti program dalam menaikkan pendapatan wanita.

Demikian kata Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail dalam Majlis Penghargaan Penyelaras dan Penyelia (P&P), PWB di SUK Shah Alam petang semalam.

PWB telah beroperasi di sekitar Selangor dalam masa dua tahun sejak 2010 bagi membantu memberi pendapatan kepada peserta di samping menggalakkan pembukaan lebih PWB.

“Antaranya kita berbangga dengan kejayaan PWB Dun Ijok yang berjaya dengan usaha jahitannya, PWB Dun Batu Tiga dengan tenunan kainnya dan PWB Selat Kelang yang berjaya dengan program-program keusahawanannya.

“Kejayaan-kejayaan ini membuktikan bahawa wanita Selangor semakin perkasa dan berdaya serta mampu memainkan peranan penting dalam memantapkan struktur ekonomi negeri," kata Rodziah.

Sementara itu, Anizan Othman, penyelaras PWB Dun Kota Anggerik berikrar untuk berusaha membantu wanita memainkan fungsi maksimum memacu ekonomi keluarga dan negeri.

“Antara lain saya ingin menarik penyertaan wanita orang asal di Kota Anggerik iaitu lebih kurang 39 orang,” katanya apabila ditermui.

“Saya percaya semua usaha murni yang berterusan daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat dan PWB akan menjadikan wanita lebih berdikari serta menguntungkan negeri bagi jangka masa panjang,” ujarnya.

Pada Julai lalu, PWB menerima peruntukan sebanyak RM1.33 juta di bawah Geran Selangorku, bagi tempoh enam bulan akan datang.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut bagi merasmikan majlis dengan menyampaikan watikah perlantikan Penyelaras dan Penyelia PWB kepada 56 wakil.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: