30 Oktober 2012

Gangguan anjing menyalak malam

14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - PONTIAN - Kehadiran anjing liar pada waktu malam di Kampung Sinar Harapan, dekat sini nyata membimbangkan penduduk sejak kebelakangan ini. Meskipun tiada lagi sebarang gangguan berlaku sehingga mencederakan individu setakat ini, namun kehadiran binatang tersebut secara berkumpulan pada waktu malam, menakutkan penduduk untuk keluar dari rumah. Wakil penduduk, Mohd Fadzil Ghani, 26, berkata, tiada apa yang boleh dilakukan penduduk kampung melainkan hanya duduk di dalam rumah. “Saya pernah intai melalui tingkap rumah dan melihat anjing-anjing liar itu cukup besar dan menakutkan. “Walaupun sudah dibaling batu, anjing-anjing liar ini tidak takut, malah terus menyalak membuatkan suasana menjadi bising,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Menurutnya, penduduk juga terpaksa menyimpan kasut dan selipar mereka di dalam rumah kerana dikhuatiri diambil oleh anjing –anjing liar apabila menemuinya. “Begitu juga dengan sampah atau sisa-sisa makanan tidak boleh diletakkan di luar rumah pada waktu malam yang juga akan dijadikan sasaran anjing liar sebagai tempat makanan mereka,” katanya. Jelasnya, ancaman anjing liar ini selalu berlaku pada waktu tengah malam di antara jam 12 tengah malam sehingga pagi. Bagi Azman Mohd Nor, 56, gangguan anjing liar ini telah lama berlaku memandangkan kedudukan kampung yang terletak berhampiran dengan ladang ternak ayam dan kebun kelapa sawit. Namun sejak akhir-akhir ini katanya, bilangannya agak banyak sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk. Dia berkata, gangguan anjing liar ini juga membimbangkan orang ramai yang menggunakan jalan baru daripada Sinar Harapan ke Serkat terutama pada waktu malam apabila terserempak dengan binatang tersebut. “Berhampiran kampung kami terdapat banyak kebun kelapa sawit serta beberapa ladang ternak ayam yang memungkinkan anjing liar tersebut datang dari arah tersebut,” katanya. Katanya, penduduk berharap agar pihak-pihak berkenaan dapat mengambil tindakan supaya tiada sebarang kejadian tidak dingini berlaku ke atas mereka. Agency

Tiada ulasan: