30 Oktober 2012

Polis cari empat lelaki

14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan empat lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes 1,407 unit telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note II bernilai kira-kira RM3.2 juta yang hilang di kawasan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Oktober lepas. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pihaknya sudah mengenal pasti empat lelaki berusia 22 hingga 32 tahun itu. “Keempat-empat lelaki berkenaan dikenali sebagai U Chalan, J Aravindan, J Pratib dan N Selvakumar. Tiga orang daripada mereka beralamat terakhir di Nilai, Negeri Sembilan, manakala seorang lagi alamat terakhir di Jalan Klang Lama,” katanya. Menurutnya, seorang lelaki berusia 42 tahun yang dipercayai salah seorang perancang kepada sindiket berkenaan telah tampil menyerah diri bersama peguamnya di Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang, semalam. “Individu berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah membabitkan kes pecah amanah dan penipuan,” katanya. Syed Ismail berkata, pihaknya turut menahan 12 orang termasuk tiga wanita dalam 11 serbuan berasingan di kawasan kargo KLIA, Puchong, Nilai, Sepang dan sebuah pusat membeli belah di ibu kota pada 23 hingga 25 Oktober lepas. “Kami turut menahan enam individu yang membeli telefon pintar berkenaan dengan harga RM1,850 berbanding harga pasaran. “Kesemua yang ditahan itu berusia 22 hingga 43 tahun. Kami juga berjaya menemui 71 unit telefon pintar berkenaan,” katanya. Syed Ismail berkata, seramai sembilan orang yang ditahan itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini. Menurutnya, anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang masih meneruskan siasatan berhubung kes itu. Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, anggota sindiket berkenaan menyamar sebagai wakil sebuah syarikat untuk mengambil barangan tersebut yang baru tiba daripada Korea. Sindiket berkenaan dipercayai turut mendapat bantuan daripada beberapa pekerja syarikat penghantaran kargo. Agency

Tiada ulasan: