30 Oktober 2012

Pemuda PAS gesa OIC tegas tangani konflik Syria

14 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) lebih tegas dan proaktif dalam menyelesai kemelut berdarah di Syria yang sudah berlarutan hampir 23 bulan. Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, tindakan segera dari OIC mampu menyelamatkan rakyat negara itu khususnya umat Islam daripada dibunuh askar regim Basyar Al Assad. "OIC tidak boleh hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dengan rakyat Syria setiap hari disembelih dan dibunuh dengan kejam meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan di negara tersebut menjelang perayaan Aidil Adha. "Umat Islam mengharapkan supaya OIC berperanan penting bagi mengembalikan keamanan ummah di negara tersebut bahkan di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan. Sehingga kini, kemelut Syria telah mengorbankan lebih 30,000 nyawa yang kebanyakannya orang awam. Raja Ahmad yang juga Naib Ketua DPPM berkata, pihaknya turut menolak keras campurtangan asing khususnya Amerika Syarikat serta negara lain seperti Iran, Rusia dan China dalam kemelut Syria ini. "DPPM menegaskan, hanya rakyat Syria berhak menentukan kehidupan dan pemimpin negara mereka tanpa campurtangan kuasa dan negara asing. "Justeru, kerajaan Syria perlu berusaha mengembalikan keamanan di negara tersebut melalui kaedah perdamaian," katanya. Pada masa sama, beliau turut mendesak kerajaan Jordan memberikan jaminan perlindungan keselamatan terhadap rakyat Syria di kem-kem pelarian di sempadan Jordan yang kian bertambah. Harakah Daily

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Amat sedih sekali masalah Syria tak habis-habis. Rasa Allah tak wujud atau berkuasa ! Jika wujud takkan biarkan keadaan ini berlaku ! Adakah ini juga ujian dengan perlu banyak korban ????????