22 Oktober 2012

Treler terbabas ke lokasi kebakaran

6 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Treler terbabas ke lokasi kebakaran
Choong Bee dan kepimpinan MCA yang lain melawat keadaan tapak rumah kedai terbakar dan treler yang terbabas ke lokasi berkenaan, Khamis lalu.
 
TAMPIN – Baru empat hari 10 unit rumah kedai di Pekan Batang Melaka musnah dijilat api, kini penduduk dikejutkan pula dengan insiden membabitkan sebuah treler terbabas masuk ke lokasi kebakaran berkenaan, petang Khamis lalu.

Dalam kejadian, kira-kira 2 petang itu, treler muatan simen berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Bahau menuju ke Batang Melaka.

Jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, treler berkenaan menggelongsor masuk ke dalam tapak lokasi rumah kedai yang hangus terbakar setelah cuba mengelak sebuah kereta yang secara tiba-tiba keluar dari simpang kiri di pekan berkenaan.

“Mujur tiada kemalangan jiwa dicatatkan dan buat masa ini treler berkenaan masih lagi menunggu untuk dikeluarkan dari lokasi kebakaran yang mana rangka bangunannya juga sudah banyak rentung,” katanya kepada Sinar Harian, dekat sini, semalam.

Sinar Harian bertarikh 16 Oktober lalu melaporkan 10 deretan rumah kedai di pekan yang terletak bersempadan dengan Jasin, Melaka musnah terbakar dalam kejadian kira-kira 11.55 malam, Ahad lalu dengan jumlah kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.

Kesemua mangsa menerima bantuan segera daripada Ahli Parlimen Tampin, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor iaitu sebanyak RM5,000 bagi empat peniaga yang beroperasi di lokasi berkenaan dan enam lagi menerima RM2,000.

Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Tampin, Gan Choong Bee berkata, diharap mangsa kebakaran tidak lagi mencari barangan berharga mereka di tapak rumah kedai yang terbakar.

“Tindakan ini sangat bahaya kerana dikhuatiri rangka bangunan yang terbakar akan jatuh pada bila-bila masa.  Oleh itu, kita harap peniaga dapat menjaga keselamatan masing-masing.

“Malah, kita (Barisan Nasional) kini bersama Majlis Daerah Tampin akan berusaha bagi memastikan nasib golongan peniaga ini dapat dibantu dalam membangunkan peniagaan mereka semula," katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: