21 November 2012

18 maut insiden rempuhan jambatan runtuh di India


7 Muharram 1433H. [MOD] -


SEORANG wanita menangis di samping mayat-mayat mangsa yang terkorban akibat rempuhan pada satu sambutan Chhath Puja di Patna, India pada Isnin lalu.

PATNA, India - Pihak berkuasa India membuka satu kertas siasatan mengenai kejadian rempuhan yang mengorbankan 18 orang wanita dan kanak-kanak selepas sebuah jambatan buluh yang dibina sempena festival perayaan Hindu runtuh kelmarin.
Insiden itu berlaku di timur bandar Patna, berhampiran sungai Ganges pada lewat malam kelmarin ketika berpuluh-puluh ribu penganut Hindu berpusu-pusu melalui jambatan itu.
Di sebalik bencana yang berlaku, para penganut tetap berkumpul di kawasan kejadian untuk bersembahyang sebelum matahari terbit.
Ia merupakan ritual wajib pada festival tersebut dengan mempersembahkan buah-buahan kepada Tuhan, menyalakan lilin dan mandi di sungai Ganges.
"Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar telah mengarahkan satu siasatan dilakukan," kata setiausaha dalam negeri, Amir Subhani kepada agensi berita AFP.
Berpuluh-puluh orang yang cedera parah kelihatan menunggu di luar Kolej Perubatan Patna dan Hospital di mana kebanyakan mangsa yang cedera dibawa.
"Ramai yang panik selepas rempuhan berlaku menyebabkan mereka mencampak barang persembahan sembahyang bagi menyelamatkan diri masing-masing," kata seorang peniaga teh, Akhilesh Prasad kepada wartawan tempatan.
Superitendan polis di Patna, Jayant Kant berkata, 18 orang disahkan maut termasuk 10 wanita dan lapan kanak-kanak.
Angka kematian dijangka meningkat kerana masih ramai mangsa yang dilaporkan hilang belum ditemui.
"Mayat kesemua yang maut dalam rempuhan telah dihantar ke hospital untuk dibedah siasat," kata Kant. - AFP