27 November 2012

PAS cadang lantik wanita sebagai speaker

13 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Parlimen disaran melantik seorang speaker daripada kaum wanita kerana mereka lebih memahami khususnya menyentuh isu sensitiviti kaum wanita ketika dibangkitkan di dalam dewan.

Perkara itu dicadangkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff sewaktu berbahas usul pindaan untuk Peraturan Tetap 36(4) mengatakan: “Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap)".

"Selepas ini, speaker pula di kalangan wanita, kerana mereka lebih memahami dalam isu-isu wanita," katanya.

Beliau berkata, setiap ahli parlimen harus menggunakan bahasa yang sopan dan menghormati antara satu sama lain termasuklah tidak mementingkan soal gender.

Katanya, ahli parlimen perlu menunjukkan tatacara yang baik sewaktu berbahas di dewan dan tutur kata yang tidak menyinggung lelaki dan perempuan.

Sebelum itu, ketika mencelah Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata kebanyakan ahli parlimen BN yang sering mengeluarkan kata-kata berunsurkan seksis ketika berbahas.

"Banyak yang keluarkan seksis, adalah di sebelah sana," katanya yang tuju kepada ahli parlimen BN.

Malah beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberikan kursus khas kepada semua ahli parlimen terutama berkaitan sensitiviti kaum wanita.

Katanya, kursus itu penting kerana ia dapat membantu ahli parlimen mengetahui garus panduan dalam isu-isu sensitif.

“Saya cadangkan Kementerian supaya memberikan kursus kepada MP mengenai soal gender ini. Ia supaya mereka ini dapat mengikut garis panduan daripada bercakap perkara-perkara sensitif,” kata Fuziah.

Ekoran itu, Fuziah dikecam kerana beliau menegaskan kursus itu wajib diberikan kepada ahli parlimen BN.

“Kursus ini juga harus diberikan kepada MP BN khususnya. Ini memandangkan mereka yang banyak bercakap tentang soal-soal sensitif ini,” ujar Fuziah.

Menyambung perbahasan, Zailah turut bersetuju dengan Fuziah dan menyifatkan cadangan itu sebagai usaha untuk memartabatkan dewan yang mulia ini tanpa mengira perbezaan gender.

harakah/-

Tiada ulasan: