06 Disember 2012

Hancurkan kuasa Umno BN jalan terbaik hapus rasuah

22 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Menghancurkan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) adalah satu-satunya jalan untuk menghapuskan rasuah di negara ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Tidak ada dua jalan, hanya itu sahaja satu-satunya cara untuk mengurangkan rasuah ke tahap minimum di negara ini, iaitu dengan menghancurkan kuasa Umno BN," kata beliau ketika menyatakan kebimbangannya tentang laporan terbaru mengenai rasuah yang kian kronik di negara ini.

Pengerusi Transparency International-Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan mendedahkan maklumat kaji selidik yang menunjukkan separuh dari syarikat yang beroperasi di Malaysia melaporkan bahawa mereka kehilangan kontrak atau peluang perniagaan kepada pesaing mereka akibat rasuah sejak setahun lalu.

"(Bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri yang mengingatkan kita bahawa Umno sudah jadi parti perasuah.

"Apa yang dilaporkan oleh Transparency International-Malaysia tentang betapa kroniknya rasuah di negara itu ternyata adalah akibat langsung dari pemerintahan Umno BN," kata Mahfuz sambil menyifatkan pemerintahan Umno BN adalah pemerintahan untuk rasuah, demi rasuah dan dengan rasuah.

Serentak dengan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menolak rayuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat supaya jangan menukar kerajaan dengan alasan "jangan kerana marah kepada nyamuk, kelambu dibakar".

"Pelik sungguh Najib. Dia tak tahukah rakyat bukan nk bakar kelambu, tapi nak tukar tilam dan katil?

"Kalau paksa juga diri tidur atas tilam dan katil yang reput dimakan anai-anai, bila katil itu runtuh, dengan kita sekali sama-sama melingkup.

"Sebelum melingkup, baik rakyat buang jauh-jauh katil dan tilam Umno yang busuk dan reput, barulah selamat dari melingkup dan tidak lagi sakit belakang," kata Mahfuz yang turut memberikan tamsilan.

harakah/-

Tiada ulasan: