11 Disember 2012

Solidariti Hijau serah memorandum krisis air

27 Muharram 1433H. [MOD] -

Solidariti Hijau serah memorandum krisis air
 Zulkefly (tengah) sempat mengadakan sidang media sebelum menyerahkan memorandum itu, semalam. 
 
KUANTAN – Ahli Solidariti Hijau semalam menyerahkan memorandum Krisis Air di Pahang kepada kerajaan negeri di Wisma Sri Pahang bagi mendesak supaya menangani krisis air dengan segera.

Kumpulan yang diwakili 40 ahli itu sebelum ini menyerahkan memorandum yang sama di Selangor dan berhasrat menyampaikannya kepada Menteri Besar di setiap negeri.

Pengerusinya, Zulkefly Mohamad Omar berkata, dalam memorandum itu, dilampirkan senarai lokasi yang sering mengalami gangguan bekalan air di Pahang untuk perhatian pihak bertanggungjawab.

"Antara lokasi itu ialah Felda Jengka 12, Jengka 7, Jengka 10, Bandar Tun razak, Tanjung Agas, Pekan, Felda Kampung Awah, Temerloh, Pulau Tawar, Jerantut, Kampung Aur Seberang, Rompin dan Felda Mayam, Triang.

"Selain itu, kawasan Kuantan juga turut mengalami gangguan iaitu di Felda Bukit Sagu 1 hingga 8, Kampung Sungai Pinang dan Felda Bukit Kuantan," katanya ketika ditemui semalam.

Turut hadir, Penggerak Institut Peduli Rakyat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, Solidariti Hijau yang disertai 80 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ingin menarik perhatian kerajaan negeri untuk mengambil tindakan segera menangani rungutan rakyat tentang krisis air.

Katanya, tindakan itu bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan sebaliknya mahu perhatian segera dalam menangani masalah bekalan air yang berlaku di negeri ini.

Sebagai NGO yang prihatin dengan masalah itu, katanya, Solidariti Hijau sudah mengenal pasti beberapa faktor gangguan bekalan iaitu kapasiti air yang tidak mencukupi, tekanan air rendah, kerosakan teknikal dan air tercemar serta tidak bersih.

Zulkefly berkata, pihaknya turut mendapat aduan penduduk yang mempertikaikan bil air tinggi walaupun tiada bekalan air.

“Pihak bertanggungjawab perlu menyiasat segera masalah itu bagi mengenal pasti punca bil air tinggi walaupun tiada bekalan air. Selepas menjalani kehidupan tanpa air, mereka terpaksa pula membayar bil air yang tinggi. 

Perkara itu sudah tentu membebankan penduduk,” katanya. 

sinar/-

Tiada ulasan: