08 Januari 2013

Nenek, cucu dituduh miliki heroin

25 Safar 1433H. [MOD] - AYER KEROH - Seorang nenek dan cucunya dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki lebih 2 gram dadah, di Sungai Udang, minggu lalu. Tertuduh, Norma Hamid, 71 dan cucunya Shaharudin Mohd Zin, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majisret, Ida Rahayu Sharif. Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki dadah jenis heroin berat kasar 2.3 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Udang kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 3 Januari 2013. Mereka dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum minima dua tahun dan maksima lima tahun dan sebat dari tiga hingga sembilan kali sebatan. Shaharudin turut dituduh memiliki heroin seberat 0.3 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama. Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya. Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan yang dihadapi kedua-dua pertuduhan dan RM3,000 bagi pertuduhan dihadapi Shaharudin. Bagaimanapun, hanya Shaharudin yang merupakan pekerja mekanik merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara nenek dan ibunya. Selepas mendengar rayuan tersebut, Ida Rahayu kemudian menetapkan ikat jamin RM1,000 terhadap Norma dan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi Shaharudin. Beliau menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Februari depan bagi mendengar laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah. Sinar Harian

Tiada ulasan: