08 Januari 2013

Umno Titiwangsa dicabar debat isu tanah Kg. Baru

25 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi mencabar Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani untuk berdebat tentang isu 'Umno gadai tanah Kg. Baru'. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) melontarkan cabaran debat itu di dalam satu ceramah di perkarangan pejabat PKWR Titiwangsa di sini Kelmarin. "Saya cabar Umno Titiwangsa untuk berdebat, kamu bentangkan fakta kamu dan kita akan kemukakan segala fakta bahawa Umno sedang menggadaikan tanah orang Melayu di Kuala Lumpur untuk kaut keuntungan kepada kroni," jelas beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Pemuda PAS Malaysia. Menurut beliau, Umno sengaja membodohkan orang Melayu di Kampung Baru dengan memutar belitkan fakta sebenar. Menurutnya lagi, Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2012 (APPKB) telah diluluskan secara tergesa-gesa, dibahas hanya dalam masa 4 jam sebelum diluluskan di Parlimen. Zamri mengulangi pendirian bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan satu-satunya tanah orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur ini akan dipelihara sepenuhnya hak pemilik dan pewaris yang asal. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan penduduk Melayu di Kampung Baru agar tidak termakan penipuan Umno dalam usaha merampas tanah warisan mereka. "Kita tidak mahu tanah milik orang Melayu di Kampung Baru menerima nasib sama seperti tanah Kg. Abdullah Hukum dan Kg. Kerinchi. "Orang Melayu merempat di tanah sendiri, kononnya mahu dibuat pembangunan. Walhal ia adalah gedung-gedung mewah untuk golongan kaya," ujar beliau. Terdahulu, Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, APPKB 2012 akan dibatalkan dan tanah warisan itu akan dikembalikan kepada penduduk, pemilik dan pewaris yang asal. Turut sama dalam program ceramah itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Cabang Titiwangsa, Zahir Hasan, Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Abdul Hadi. Harakah Daily

Tiada ulasan: