08 Januari 2013
Penyamun masuk melalui tingkap
25 Safar 1433H. [MOD] - PORT DICKSON – Seorang pengusaha sebuah kedai serbaneka di sini mengalami kerugian lebih RM1,000 apabila kedainya dipecah masuk, malam kelmarin.
Kejadian disedari oleh pemilik kedai, Mohd Ikram Azmi, 26, dan isterinya Nurul Nabilah Kamal, 27, ketika membuka kedai mereka pada jam 9.20 pagi semalam.
Mohd Ikram berkata, dia mengesyaki kedainya dimasuki penyamun selepas 4 pagi kerana mesin tambah nilai telefon yang diletakkan di kedainya berfungsi sehingga 3.50 pagi dan selepas itu bekalan elektrik dipercayai diputuskan oleh mereka.
“Sebaik memasuki kedai, isteri saya curiga dan bertanyakan kenapa saya tidak menutup laci ketika meninggalkan kedai. Dari situ saya terus mengesyaki kedai dipecah masuk ditambah pula rokok yang disusun pada rak sudah kosong.
"Saya segera memeriksa laci tempat menyimpan wang dan mendapati wang berjumlah RM501 turut hilang," katanya ketika ditemui di kedainya, semalam.
Menurutnya, dia kemudiannya segera memeriksa bahagian belakang kedai dan mendapati tiga keping cermin tingkap telah dipecahkan selain besinya dibengkokkan.
“Sejak setahun saya berniaga di sini, ini adalah kejadian pertama kedai dipecah masuk pencuri dan sebelum ini kedai saya pernah disembur cat dipercayai perbuatan remaja nakal di sini,” katanya.
Berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir remaja di kawasan itu, Mohd Ikram turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pencuri ini dengan memberi maklumat terus kepada polis ataupun kepadanya untuk tindakan memerangkap mereka bagi mengurangkan kejadian seperti ini.
Katanya, akibat bekalan elektrik yang telah diputuskan oleh pencuri menyebabkan banyak aiskrim cair dan rosak serta tidak boleh dijual lagi.
“Pada masa akan datang, saya khuatir kejadian seumpama ini akan berlaku lagi memandangkan kawasan ini sering dijadikan tempat melepak remaja sehingga lewat malam,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lukut.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa keping cermin yang dipecahkan dibiarkan berselerak berhampiran kedai berkenaan.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan