14 Januari 2013

Pakej benih padi kebal mahal

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Mohd Yahya (kanan) mencatat aduan pesawah ketika kunjungan di Sawah Sempadan.
Mohd Yahya (kanan) mencatat aduan pesawah ketika kunjungan di Sawah Sempadan.
TANJONG KARANG - Kebanyakan pesawah di Sawah Sempadan, di sini merungut apabila terpaksa membelanjakan kira-kira lebih RM800 bagi setiap hektar semusim untuk pakej benih padi kebal yang dibekalkan.

Mereka mendakwa satu pakej benih padi kebal ditawarkan dengan RM110 sehingga RM120 termasuk kos penghantaran itu mahal dan kurang berkualiti.

Ketua Blok T1, Mohd Faizal Salleh, 32, berkata, pesawah hanya akan menerima 20 kilogram benih padi dengan 20 gram racun satu pakej benih.

“Jika dibandingkan harga kilang, bagi 20 kilogram padi dibekalkan hanya bernilai RM28 sahaja dan menyebabkan pesawah menilai harga racun termasuk kos penghantaran berjumlah lebih RM80.

“Bagi satu petak sawah berkeluasan 1.2 hektar memerlukan tujuh atau lapan beg benih padi 20 kilogram dan jika dikira kos keseluruhan, ia terlalu tinggi dan tidak menguntungkan pesawah,” katanya.

Mohd Faizal berkata, harga jualan padi masih sama iaitu pada takat harga RM1,250 pertan dan pesawah akan menanggung kerugian apabila didapati 20 peratus benih yang dibekalkan perbeg tidak berkualiti.

“Harga benih padi mahal, belum tentu semua benih ini akan membesar, malah pesawah juga terpaksa menanggung kos membeli racun tambahan bagi membendung masalah haiwan perosak seperti tikus dan siput,” katanya.

Seorang pesawah, Ahmad Mukri, 60, berkata, walaupun benih padi kebal yang dibekalkan agak mahal berbanding benih padi biasa, namun hasil padi yang diperolehi meningkat berikutan padi tidak mengalami serangan atau kerosakan.

“Mungkin formula racun yang disediakan bersesuaian dengan benih padi kebal, namun ia tidak boleh digunakan lebih tiga musim kerana boleh merosakkan tanah.

“Jika dibandingkan dengan bekalan benih padi terdahulu, harga yang disediakan tidak mahal namun petani terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis serangan dan kerosakan padi jika tidak dijaga dengan rapi.

“Meskipun benih padi kebal ini mampu meringankan kerja pesawah, namun jika dapat dikurangkan harga di bawah RM100, ia cukup melegakan kami,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Sahril Salimon, 28, memohon supaya supaya harga benih padi dapat dikurangkan bagi membolehkan pesawah menampung kos penanaman padi yang semakin meningkat.

“Harga jualan benih padi sewajarnya dipantau memandangkan harga yang dikenakan berbeza di setiap kawasan, malah pesawah berhak mengetahui harga sebenar benih padi serta pakej racun yang dibekalkan pengilang bagi mengelakkan kekeliruan atau ditipu,” katanya.


Jangan ambil jalan mudah

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, isu ini sering dibangkit pesawah setiap musim, namun rungutan mereka tidak sampai kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Isu harga berkaitan padi ini sepatutnya dikawal sepenuhnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan bukannya mengambil jalan mudah untuk diswastakan sekali gus menekan pesawah dengan pelbagai masalah.

“Meskipun benih padi mempunyai subsidi kerajaan, namun pesawah masih merungut harga yang dikenakan mahal dan keliru harga sebenar racun yang dibekalkan.

“Mereka hanya tahu harga sepakej yang dibekalkan dalam lingkungan RM110 sehingga RM120 termasuk kos penghantaran bergantung kepada caj yang dikenakan pembekal,” katanya.

Mohd Yahya berkata, permohonan pesawah yang mahu mendapatkan bantuan kerajaan negeri melalui input sokongan akan dipanjangkan kepada pihak berkenaan.

“Kita sedia maklum kerajaan negeri ada menyediakan bantuan seperti baja dan racun kepada pesawah yang memerlukan, Saya akan bangkitkan permohonan ini kepada Exco terlibat,” katanya.


Kementerian akan kaji semula

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kementerian akan melakukan kajian dari segi kos pakej benih padi yang boleh menguntungkan petani.

“Saya difahamkan, racun dibekalkan untuk benih padi kebal hanya sekali pakai sahaja dan pendekatan ini mengurangkan tenaga dan menjimatkan masa pesawah.

“Bagaimanapun, kementerian sedang menjalankan kajian dari segi kos racun subsidi dan baja tambahan yang dibekalkan berikutan timbulnya rungutan berhubung isu benih padi kebal mahal.

“Kalau guna benih padi biasa, pesawah perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menjaga hasil mereka memandangkan risiko serangan penyakit dan kerosakan tinggi jika dibandingkan penggunaan benih padi kebal ini.

“Kita akan kaji kebaikan dan keburukan penggunaan benih padi kebal ini kerana yang penting, hasil pengeluaran padi dapat dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program Turun Padang Parit Empat, Sungai Burong.

Mengulas lanjut isu padi angin, Noh menjelaskan, sebelum ini pembekal diberi ingatan supaya setiap satu kilogram, padi angin tidak boleh melebihi 10 biji.

“Pembekal juga diwajibkan menggunakan mesin pemisah benih padi dan apabila syarat ini dikenakan, saya lihat rata-rata hasil padi meningkat,” katanya.

SINAR/-

Tiada ulasan: