14 Januari 2013

Tahun Baru Cina: Teras anggap Soi Lek celaru

2 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menyanggah pendirian Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyifatkan garis panduan kerajaan PAS Kedah mengenai sambutan Tahun Baru Cina sebagai menggugat serta menghakis hak dan kebebasan golongan bukan Islam di negeri itu.

“Kami berpendapat garis panduan dikeluarkan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah pada 9 Januari lepas antaranya melibatkan aspek pemakaian, nyanyian dan tarian adalah wajar dan tidak  bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” kata Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, amat dangkal dan berbau politik jika soal kesusilaan dan kesopanan dalam majlis awam dilihat sebagai sikap tidak menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak golongan bukan Islam.

Justeru, beliau mempersoalkan apakah Presiden MCA itu sengaja tidak mahu faham bahawa Rukun Negara yang menekankan soal kesusilaan dan kesopanan adalah salah satu asas yang penting yang perlu dipelihara di negara ini.

Katanya, hanya dengan alasan hak golongan bukan Islam MCA menolak peraturan yang berkaitan dengan kesopanan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan Kedah adalah sangat sempit dan tidak layak disuarakan dari sebuah parti politik yang sudah begitu lama di negara ini.

Menurutnya, jelas Presiden MCA itu telah bercelaru dalam banyak hal mengenai Islam bukan sahaja beliau telah mempersoalkan isu berjabat tangan antara wanita Islam dengan bukan Islam, isu larangan berjudi, isu hudud malah jelas dalam soal kesopanan awam pun keliru.

“Apakah hak untuk berpakaian tidak sopan dan perlakuan tidak menghormati nilai dan adab dalam masyarakat juga boleh dianggap sebagai hak yang perlu dipertahankan?

“Tidakkah nilai dan adab ketimuran adalah salah satu norma masyarakat di negara ini yang perlu dipelihara?” tanya Mohd Azmi.

Sehubungan itu, tegasnya Teras menyokong garis panduan yang dikeluarkan kerajaan Kedah mengenai penganjuran program '1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013' yang akan berlangsung di Star Walk Alor Setar pada 15 Februari depan.

Tambahnya, garis panduan yang menggariskan cara pemakaian pegawai dan artis yang terlibat hendaklah bersopan, tidak menjolok mata, artis digalakkan membuat persembahan nyanyian dan lagu berunsurkan ketuhanan atau nasihat dan tidak melalaikan serta melampau, sangat wajar dan perlu diikuti sebagai pendidikan yang membina nilai masyarakat dalam negara ini.

Baginya, sikap negatif Soi Lek terhadap apa sahaja yang menyentuh persoalan hukum moral dan akhlak melambangkan beliau berpegang kepada sikap yang ultra liberal atas nama hak orang bukan Islam.

Mohd Azmi menambah, Teras yakin bahawa pandangan Soi Lek itu tidak mewakili masyarakat bukan Islam kerana umumnya masyarakat menghormati nilai-nilai kesusilaan dan kesopanan sebagai ciri masyarakat Malaysia yang berteraskan acuan moral kita sendiri.

“Kami menegaskan pihak kerajaan Kedah perlu meneruskan penguatkuasaan peraturan tersebut dan berbincang dengan masyarakat dan penganjur acara mengenai bagaimana sambutan itu dapat berjalan dengan harmonis dan lancar sesuai dengan nilai murni yang disanjung oleh semua kaum di negara ini,” ujarnya.

HARAKAH/-

Tiada ulasan: