07 Januari 2013

Pemuda PAS hargai jasa almarhum Prof Ahmad Ibrahim

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menganugerahkan Tokoh Profesional Terbilang kepada almarhum Prof. Ahmad Ibrahim sempena Himpunan Xpresi Profesional Muda tempoh hari. “Almarhum adalah tokoh negara yang banyak berjasa,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan sempena penyerahan sijil dan plak penghargaan DPPM kepada anak almarhum di Shah Alam, semalam. (Gambar) Menurutnya, almarhum adalah peguam yang mempertahankan aqidah Natrah yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Singapura pada awal 50-an. Selain itu, katanya almarhum adalah pengasas Malayan Law Journal yang menghimpunkan koleksi kes-kes mahkamah yang kini menjadi rujukan utama para pengamal undang-undang, hakim dan pelajar undang-undang di seluruh negara. Tambahnya, almarhum juga adalah pejuang perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia dan antara orang penting di sebalik penubuhan mahkamah syariah sehingga nama beliau diabadikan di UIA [Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law - AIKOL]. Nasrudin berkata, DPPM semalam menyerahkan Sijil dan Plak Anugerah Tokoh Profesional Terbilang kepada anak ke-6 daripada 9 anak almarhum iaitu Mohd Ismail di kediaman beliau Taman Subang Mutiara Batu 3, Shah Alam yang mana wajah Mohd Ismail mirip almarhum. Mewakili DPPM ialah Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz Timbalan Ketua DPPM dan Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, Pengarah JUHAM DPPM. "Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunanNya kepada almarhum Prof. Ahmad Ibrahim. Mudah-mudahan jasa dan kegigihan perjuangan beliau terus menjadi sumber inspirasi anak-anak muda hari ini," ujarnya. AProf. Ahmad Ibrahim yang telah kembali ke rahmatillah pada tahun 1999 sewaktu usia 83 tahun juga adalah ahli PAS seumur hidup. Harakah Daily

Tiada ulasan: