07 Januari 2013

Guru Pasti P Pinang terima sumbangan awal tahun

24 Safar 1433H. [MOD] - BUKIT MERTAJAM: Guru Pusat AsuhanTunas Islam (Pasti) seluruh Pulau Pinang dianugerahkan RM600 seorang sebagai bonus awal tahun 2013. Justeru, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Yusni Mat Piah berkata, pihaknya merasa sangat bertuah kerana mempunyai guru Pasti yang cukup kental walaupun diduga dengan kesukaran ekoran kekurangan kelengkapan pengajaran. “Semoga dengan pemberian wang dari Pasti dan Dewan Pemuda PAS negeri bernilai RM150 ribu itu dapat membantu serta menyemarakkan lagi semangat kerja dalam pasukan. "Guru Pasti harga yang bernilai bagi PAS. Tanpa pengorbanan mereka anak kita tidak mengenali apa itu awalan Islam," tegasnya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Kompleks An-Nadhoh, Penanti semalam. Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Pasti negeri, Nazarudin Awang Hamat dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudin. Guru Pasti yang ditemui rata-rata gembira dengan pemberian itu dan bertekad meneruskan usaha murni memberikan pembelajaran kepada anak bangsa. Sarimah Ibrahim dari Pasti Kubang Semang, Permatang Pauh berkata, pemberian itu menyuntik semangatnya untuk bertugas dengan lebih tekun lagi pada tahun ini. Walaupun pemberian itu bukan sandaran, ujarnya namun dapat memberikan harapan baru bahawa guru Pasti tidak diketepikan. Hasnah Hasan yang bertugas di Pasti An-Najmie, Pongsu Seribu menyifatkan pemberian itu dapat membantu para guru Pasti menyediakan peralatan persekolahan anak-anak. Pemberian itu juga kata beliau yang bertugas selama 13 tahun, memberi kekuatan kepada guru Pasti untuk bersama-sama memajukan Pasti masing-masing pada tahun ini. Harakah Daily

Tiada ulasan: