07 Januari 2013

MPPUIA desak kaji semula syarat rebat RM200

24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ada syarat yang sangat membebankan pengguna telefon pintar iaitu semua pelanggan dikehendaki melanggan pakej jalur lebar yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan terpilih. Demikian luahan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIA), Muhammad Hamidi Zamri berhubung rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar. Begitupun, beliau berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berbesar hati meluluskan rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar kepada belia berusia 21 bhingga 30 tahun dalam Bajet 2013. “Mahasiswa di IPTA/IPTS juga tidak terlepas dari menikmati rebat ini,” katanya dalam satu kenyataan. Baru-baru ini juga, kabinet telah mendengar suara belia untuk membuka tawaran rebat RM 200 kepada semua jenis telefon pintar, bukannya terhad kepada telefon pintar yang berharga RM500 ke bawah sahaja. “Namun demikian, apabila kami meneliti syarat-syarat yang dikemukakan, kami mendapati ada syarat yang sangat membebankan pengguna telefon pintar iaitu semua pelanggan dikehendaki melanggan pakej jalur lebar yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan terpilih bagi melayakkan mereka menuntut rebat ini,” ujarnya. Malah, kata beliau ada sesetengah penyedia perkhidmatan mewajibkan pelanggan untuk terikat dengan kontrak perjanjian selama setahun untuk menikmati rebat ini. Beliau berkata, MPPUIA akui bahawa penggunaan aplikasi telefon pintar akan terbatas tanpa liputan internet, namun demikian perkara itu akan dapat diatasi apabila kebanyakan kampus IPTA/IPTS dan juga restoran-restoran ada menawarkan wifi percuma kepada pelajar dan pelanggan mereka. Katanya, oleh kerana mahasiswa di IPTA/IPTS bukanlah golongan yang berpendapatan, pihaknya mendesak agar syarat mewajibkan langganan internet ini dikaji semula kerana ternyata ianya akan membebankan mahasiswa yang terpaksa membayar komitmen bulanan untuk menikmati rebat RM200 itu. “Kami yakin bahawa kerajaan Malaysia sangat prihatin dengan kebajikan rakyat. Janganlah kerana kesenangan sementara, menyebabkan kami terpaksa menanggung kepayahan yang berpanjangan,” katanya lagi. Harakah Daily

Tiada ulasan: