07 Februari 2013

Jika penjenayah masih berkuasa, rakyat salahkanlah diri sendiri

26 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Jika pimpinan kerajaan hari ini tidak berkemampuan untuk membuang perkara-perkara yang dilakukan oleh Mahathir dahulu, kita rakyat yang ramai inilah yang bertanggungjawab memperbetulkannya.
“Rakyat perlu menyayangi negara kita. Kita tidak boleh mengharapkan pimpinan hari ini untuk mensabitkan kesalahan yang mereka lakukan sendiri,” tulis Aspan Alias di dalam blognya http://aspanaliasnet.blogspot.com/.

Menurutnya, rakyat sahajalah yang selayaknya melakukan penghakimannya melalui proses politik dan ‘decisive’ dan ini sudah menjadi kewajipan kita semua.

“Jika mereka yang menjenayahi kita ini masih berada di tampuk kuasa itu bukan kesalahan sesiapa lagi. Itu sudah menjadi kesalahan rakyat sendiri.” tulisnya lagi.

Di bawah adalah tulisan penuh beliau.

Deepak sekali lagi membawa orang ramai menatapi isu pembunuhan Altantuya dengan membuat kenyataan yang memanaskan semasa perjumpaan Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS semalam. Dalam kenyataannya beliau meminta perlindungan dari pihak berkuasa jika beliau memberikan segala bukti pembabitan Najib dan isterinya dalam kes pembunuhan itu.

Isu pembunuhan itu sudah menjadi buah mulut orang ramai sejak bertahun-tahun yang lalu dan dua orang pegawai keselamatan yang berkhidmat dengan Najib dan isterinya telah pun dijatuhkan hukuman mati kerana disabitkan dengan kesalahan membunuh itu. Kedua-dua pegawai keselamatan yang bertugas dengan keluarga Najib ini telah membunuh seorang wanita Monggolia tanpa sebab kerana tidak dipersoalkan kenapa mereka membunuh wanita yang mengenali Najib dan rakan-rakan beliau itu.

Mahkamah Tinggi negara, mendapati mereka berdua bersalah kerana membunuh ke atas dua pegawai Polis itu, tetapi yang amat aneh dalam kes ini pihak peguam cara tidak pernah bertanyakan motif pembunuhan oleh kedua-dua pesalah itu. Ini merupakan satu-satunya kes pembunuhan yang sangat aneh kerana tidak disentuh sedikit pun tentang motif pembunuhan terhadap Altantuya itu dan inilah yang menjadi tandatanya semua pihak. Bagaimana dua orang pegawai keselamatan kepada Perdana Menteri dan isterinya melakukan pembunuhan tanpa sebab.

Semalam Deepak, ‘adik angkat’ Rosmah Mansor sendiri telah meminta Mahfuz Omar untuk melakukan sesuatu bagi melindungi beliau kerana beliau sudah bersedia untuk membongkar segala-galanya tentang apa yang beliau tahu berhubung dengan pembunuhan itu. Di negara ini, kita mempunyai ‘Protection Act 2009’ dan ‘Whistleblower Act 2010’ dan Mahfuz Omar percaya itu mencukupi untuk Deepak berlindung dalam menghadapi pembongkarannya terhadap isu pembunuhan Altantuya beberapa tahun dahulu.

Deepak percaya adalah mustahil bagi Peguam Negara hendak menafikan apa yang ada dengan saya, iaitu bukti-bukti kukuh tentang penglibatan pemimpin utama negara dan isterinya dalam isu pembunuhan ini. “Saya akan membongkar semuanya dan saya mempunyai segala bukti penglibatan semua pihak dalam pembunuhan Altantuya ini,” kata Deepak.

Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh pihak Najib termasuk isu-isu yang disebut oleh Deepak ini untuk membenamkan kes ini dari perbincangan rakyat negara. Tetapi ia tetap menjadi isu yang memanaskan. Saya percaya cadangan setengah pihak untuk membuat penyiasatan dan perbicaraan semula kes ini wajar dilakukan bagi mengelakkan dari rakyat masih tertanya-tanya tentang isu yang melibatkan pemimpin utama negara ini.

Oleh kerana isu ini melibatkan kewibawaan kerajaan dan rakyat negara maka semua pihak mesti berusaha untuk melakukan sesuatu yang benar-benar berkesan untuk menangani isu yang membosankan dan memalukan ini. Ini bukan isu untuk menjatuhkan atau membela mana-mana pihak tetapi ini isu negara dan kedaulatan yang bersama negara itu. Sebuah negara yang berdaulat tidak boleh ambil isu ini secara enteng dan ia perlu dilakukan dengan teliti dan terbuka dan diketahui oleh rakyat jelata.

Pihak yang bersalah wajib menerima padahnya dan pihak yang berfikir ini adalah isu yang wujud mereka sepatutnya memperbetulkan keadaan sama ada melalui proses perundangan atau pun melalui politik. Tetapi jika disandarkan kepada proses undang-undang kita mempunyai Peguam Negara yang menghadapi kredibilitinya. Terlalu banyak isu yang menjangkiti batang tubuh Peguam Negara itu sendiri. Walaupun kita mempunyai ‘Protection Act 2009’ serta ‘Whistleblower Act 2010’, jika Peguam Negara tidak bekerjasama isu ini tidak mungkin mampu dibawa ke tengah.

Masalahnya negara kita telah terlalu rendah kredibiliti institusi demokrasi dan penguatkuasaan undang-undangnya sejak pencabulan Badan Kehakiman dan Perundangan dari zaman Dr Mahathir sehingga sekarang. Banyak kesalahan yang dihadapi oleh pimpinan kita terlalu nyata tetapi tidak mampu diketengahkan kerana kekuasaan politik yang begitu mencengkam.

Selama ini rakyat hanya memerhatikannya sahaja. Segala bukti-bukti disorokkan oleh pengamal undang-undang di Jabatan kehakiman dan Jabatan Perundangan itu sendiri. Immuniti yang ada kepada pemimpin politik terlalu besar, malahan lebih besar dari immuniti yang ada kepada Raja-Raja Melayu kita.

Kita tidak seperti negara-negara lain. Filipina contohnya telah mengambil segala tindakan undang-undang terhadap Presidennya Arroyo dan sekarang semua orang tahu apa yang sedang dihadapi oleh bekas Presiden itu kerana isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah semasa berkuasa. Banyak ketua-ketua kerajaan dalam dunia ini terpaksa menghadapi undang-undang kerana kesalahan mereka semasa mentadbir negara. Ini masalah negara, bukannya masalah mempertahankan atau tindakan mendendami sesiapa.

Kita masih lagi ketinggalan zaman dan tidak salah jika kita menganggap negara kita ini terlalu mudah melupakan semua jenayah yang dilakukan oleh kepimpinan kita. Kita masih lagi membiarkan isu pengambilan wang rakyat yang berbillion oleh pemimpn negara untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang terbankrap dalam perniagaannya. Bagaimana perkara ini masih berlaku dalam sebuah negara yang dikatakan sedang menuju kepada negara maju jika perkara seperti jenayah yang diperlakukan oleh pemimpin kita masih tidak dapat di berhentikan.

Dalam kes Altantuya ini saya masih merasakan ia terpaksa diselesaikan melalui proses politik dahulu kerana ia memerlukan ‘political will’ untuk memulakan penyelesaian terhadap isu yang terlalu buruk ini. Pemimpin-pemimpin kita yang berada di atas tidak mungkin mempunyai kudrat untuk memastikan proses perundangan berjalan dengan betul kerana kuasa Perdana Menteri serta pengaruhnya terhadap Badan-Badan dan institusi demokrasi itu amat kuat.

Penggubal undang-undang dengan perlaksana undang-undang itu sama-sama melakukan perkara yang buruk, maka mereka bekerjasama melindungi kesalahan masing-masing. Pengasingan kuasa yang jelas patut dikembalikan kepada negara seperti sebelum pentadbiran Dr Mahathir dahulu. Jika pimpinan kerajaan hari ini tidak berkemampuan untuk membuang perkara-perkara yang dilakukan oleh Mahathir dahulu, kita rakyat yang ramai inilah yang bertanggungjawab memperbetulkannya. Rakyat perlu menyayangi negara kita. Kita tidak boleh mengharapkan pimpinan hari ini untuk mensabitkan kesalahan yang mereka lakukan sendiri.

Rakyat sahajalah yang selayaknya melakukan penghakimannya melalui proses politik dan ‘decisive’ dan ini sudah menjadi kewajipan kita semua. Jika mereka yang menjenayahi kita ini masih berada di tampuk kuasa itu bukan kesalahan sesiapa lagi.

Itu sudah menjadi kesalahan rakyat sendiri.

harakah/-

Tiada ulasan: