17 Mac 2013

Christopher Presiden Majlis Peguam, panel disiplin siasat isu SD kedua Bala

5 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR -  Presiden baru Majlis Peguam, Christopher Leong berkata beliau akan melibatkan semua pemegang kepentingan termasuk badan kehakiman dalam mencari jalan bagi mempertingkatkan standard profesion guaman.
Leong berkata, Majlis Peguam juga berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengenai standard ahli majlis dan anggota badan kehakiman.
"Kita akan menemui Ketua Hakim Negara dan pegawai kanan badan kehakiman untuk mencari jalan ke arah memperbaiki diri sendiri dan badan kehakiman," katanya.
Leong, yang mengambil alih jawatan itu daripada Lim Chee Wee berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pertama sebaik selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-67 semalam.
Pada mesyuarat AGM itu, katanya ahli badan itu melahirkan kebimbangan bahawa peguam tidak diberi masa yang cukup untuk melakukan penghujahan dan dalam beberapa insiden, mereka tidak dilayan dengan sopan oleh hakim.
"Mereka percaya hakim perlu memberi alasan penghakiman yang lebih khusus dan menyeluruh dan bukan secara luas khususnya di mahkamah tertinggi kerana ia tidak cukup berhubung titik penting dalam undang-undang," katanya.
Barisan baru dalam kepemimpinan Majlis Peguam turut merangkumi Naib Presiden, Steven Thiru; Setiausaha Agung, Richard Wee Thiam Seng dan Bendahari, Karen Cheah Yee Lynn.
Pada AGM itu, seramai 1,304 ahli Badan Peguam Malaysia turut bertafakur seminit bagi menghormati 10 wira negara yang gugur termasuk seorang selepas kemalangan jalan raya ketika bertempur dengan pengganas Sulu di Sabah.
Mengenai usul utama yang diperdebatkan oleh ahli, Leong berkata, mereka mendesak supaya seorang peguam kanan yang terbabit dalam menyediakan akuan bersumpah (SD) kedua kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu disiasat dan dirujuk ke Lembaga Disipilin untuk tindakan susulan.
Leong berkata, Majlis Peguam tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat atau memaksa sesiapa untuk menjawab sebarang aduan atau dakwaan berbanding Lembaga Disiplin yang mempunyai kuasa statutori untuk berbuat demikian.
Beliau memperjelaskan bahawa usul itu ditarik balik oleh pencadang selepas berhujah hampir 90 minit dan akhirnya penjelasan ahli majlis bahawa inkuiri mengenai perkara itu sedang dalam peringkat akhir dan akan dirujuk ke Lembaga Disiplin.
"Selepas apa yang didedahkan pada AGM ini dan kenyataan sebelum ini oleh peguam berkenaan dan ahli perniagaan (Deepak Jaikishan) sejak beberapa bulan lepas, adalah wajar untuk Lembaga Disiplin menyiasat lanjut kemungkinan berlaku salahlaku profesional oleh peguam kanan itu yang dikaitkan dalam SD kedua itu," katanya.
Ditanya sama ada majlis itu akan membuat laporan polis, Leong mengesahkan bahawa pencadang telah memaklumkan pada AGM itu bahawa dia berhasrat membuat laporan tetapi bukan dengan majlis itu ketika ini. - Bernama

Tiada ulasan: