20 Mac 2013

Isteri vs teman wanita: mana yang hebat?

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Jika sedang tertekan, Zaini pulang dengan membawa muka tak sedap, anak-anak dan isterinya merasakan perubahan itu. Semuanya serba tak kena, jemu melihat keadaan di rumah. Kalau isterinya membuat suatu kesalahan mulalah ia bandingkan isterinya itu dengan kawan-kawan wanita di pejabatnya. 

“Awak ni tak tahu nak layan suami, asyik-asyik susahkan saya, tengok tu si Fauziyah anak lima orang, kerja sampai petang suami selalu tak ada di rumah, semua dia yang uruskan tak bising pun mulutnya merepek macam awak ni. Dahlah tak kerja, kerja habiskan duit suami adalah!”

Siti faham dengan perangai suaminya itu, siapalah dia dibandingkan kawan-kawan wanita di pejabat suaminya yang hebat-hebat belaka. Adakalanya dalam bergaya pun suami akan suruh dia ikut gaya kawan wanitanya. “Cuba awak pakai cermin mata, mesti lebih cantik.” Siti tahu Zaleha, staff suaminya pakai cermin mata nampak cantik. Atau jika dia balik tugasan luar daerah terkeluar juga cerita: “Abang tengok awek cantik pakai tudung fesyen baru, Siti tak mahu cuba?”

Perangai suami yang suka membanding-bandingkan keadaan isterinya dengan wanita lain sungguh tidak logik. Mengapa dia pilih wanita itu sebagai isterinya kemudian asyik fikir kesempurnaan wanita lain? Tetapi isteri pun tidak boleh menyalahkan suami seratus peratus, adakalanya suami mahu isteri berubah ke arah yang lebih baik dari yang dulu. Apa salahnya jika demi kebahagiaan rumah tangga? Tetapi cara dan teknik menyuruh isteri berubah kadang-kadang tidak berhikmah perasaan langsung, main hentam dan langgar saja. Tak kira hati dan perasaan isteri yang terluka, akhirnya terjadilah konflik yang makin teruk.

Kadang-kadang kritikan lebih sering kedengaran di telinga isteri berbanding pujian. Ramai suami yang tidak biasa memuji isterinya. Takut isteri naik atas kepala, minta macam-macam dan tak sedar diri, kononnya kalau dah kena puji melambung susah nak terima celaan. Mengapa kalau dengan teman wanita boleh memuji, cakap pun bukan main mesra, berhati-hati melayan mereka, takut mereka merajuk, kecil hati, silap faham. Oh, bukan main pandai menjaga hati kawan, isteri sendiri tak payah jaga dia mesti faham kehendak saya! Begitulah persepsi suami yang berat sebelah.

Sesungguhnya pujian merupakan alat perangsang yang paling efektif untuk berubah ke arah yang lebih baik. Walaupun tidak dinafikan isteri perlu dikritik apabila buat salah, jika bahasa yang anda gunakan terbit dari hati yang ikhlas, Insya-Allah Tuhan akan tolong sampaikan terus ke hati isteri anda. Tetapi apabila anda merepek tak tentu pasal, sebut semua nama awek yang hebat-hebat berprestasi, cuba bandingkan kelebihan orang dengan kekurangan isteri, minta maaflah…semua perempuan tidak akan sudi dirinya dihina sebegitu.

Isteri bukan malaikat, dia manusia biasa yang boleh merasa sakit, terluka dan putus asa. Tidak selamanya dia baik, hebat dan sempurna di mata anda, jika dia mengalami perubahan yang bagi anda adalah kelemahan dan aib sudah menjadi kewajipan anda menasihati dengan cara yang berhikmah. Semasa anda menasihati isteri, anda mesti melihat pada diri sendiri. Anda pun bukanlah sempurna sangat, kalau isteri mahu tunjukkan kelemahan anda pasti banyak lagi aib dan cela anda. Masalahnya bukan mahu mencari siapa lemah siapa hebat, tapi jangan saling melukai perasaan jika mahu berubah!

Mengapa suka memuji kawan wanita dan kedekut memuji isteri? Yang anda lihat pada diri wanita di luar sana hanya zahirnya saja, sedangkan isteri, anda kenal luar dalam seratus peratus. Tidak adil meletakkan kesempurnaan pada orang yang tidak anda kenal sedangkan isteri asyik diberi ’markah C’. Ingatlah, hanya isteri anda yang sanggup tumpahkan darahnya untuk melahirkan anak-anak anda. Kadang-kadang dia membuang hati dan perasaannya semata-mata mengalah demi kemahuan suami yang tidak sekepala dan sehati dengannya.

Memang tidak dinafikan kadang-kadang isteri pun bermasalah. Suka merajuk, mengongkong, cemburu tidak tentu pasal, tidak disiplin menguruskan rumah tangga. Semua itu bukan bermakna dia manusia tidak berguna yang tidak boleh berubah. Peranan suami sebagai pemimpin yang adil, penuh kasih sayang, sabar dan berilmulah yang diperlukan disamping isteri yang bermasalah ini, bukan suami yang menyimpan masalah juga dalam keperibadiannya. Kadang-kadang suami suruh isteri berdisiplin, tetapi suami sendiri tidak memberi contoh disiplin yang baik, suruh isteri berjimat tapi suami suka hati guna duit.

Tidak adil meletakkan kesalahan seratus peratus pada isteri, mesti ada kelemahan suami yang menyebabkan isteri pun terjerumus dalam kesalahan. Begitu pula sebaliknya jika suami bermasalah isteri juga mesti merasa dialah salah satu puncanya. Kita tidak boleh menafikan setiap pasangan saling mempengaruhi satu sama lain. Tidak kira pengaruh itu positif atau negatif. Tak payah nak mencari siapa yang paling baik, atas nama cinta dan kasih sayang ubahlah komunikasi verbal anda. Kadang-kadang satu kalimah yang anda lafazkan begitu bermakna bagi pasangan anda dengan kalimah itu dia boleh berubah, bersemangat, gembira, bangga di sisi anda dan yang paling penting semakin mencintai anda. Tetapi ada kalanya dengan disengaja ataupun tidak satu lafaz boleh membuat pasangan anda berfikiran negatif, cemburu, pesimistik, murung dan rendah diri berada di samping anda.

http://drjuanda.com/

Tiada ulasan: