20 Mac 2013

Misteri rumah papan terbiar

Misteri rumah papan terbiar8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Beberapa anggota polis yang melakukan pemeriksaan terhadap rumah terbabit semalam. Gambar kecil: Keadaan dalam rumah terbiar berkenaan.
 
BANDARAYA MELAKA -  Sebuah rumah papan terbiar di Kampung Lapan, Tengkera di sini mencetuskan misteri apabila polis menemui sepucuk pistol buatan China di rumah itu kelmarin.

Polis dimaklumkan mengenai penemuan pistol tersebut pada jam 5.30 petang oleh seorang lelaki berusia 52 tahun yang juga merupakan jiran bersebelahan rumah terbiar itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, berikutan maklumat yang diterima, polis telah ke rumah itu dan mendapati pistol tersebut berada dalam tin cat di atas almari pada salah sebuah bilik.

“Pistol itu dibalut kemas dengan plastik dan berada di dalam tin cat yang tidak bertutup.

“Selain itu, polis turut menemui 16 peluru iaitu lapan di dalam kelopak pistol manakala lapan lagi berada di luar kelopak di dalam tin yang sama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Raja Shahrom berkata, hasil soal siasat polis dengan lelaki berusia 52 tahun tersebut, lelaki itu mendakwa rumah terbiar itu adalah milik bapa saudaranya yang ditinggalkan kira-kira enam bulan lalu.

Katanya, lelaki itu mendakwa menemui pistol tersebut ketika ingin mengambil peralatan bercucuk tanam di dalam rumah tersebut.

“Bagaimanapun ketika mencari peralatan lelaki itu terjumpa sebuah tin di atas almari lalu memeriksanya dan terkejut menjumpai sepucuk pistol.

“Lelaki itu juga mendakwa rumah bapa saudaranya itu kerap diceroboh selepas rumah itu kosong dan tidak berpenghuni,” katanya.

Menurut Raja Shahrom, senjata api bersama peluru itu dihantar ke Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia bagi ujian balistik untuk memastikan sama ada ia pernah digunakan untuk tujuan jenayah.

Jelasnya, setakat ini polis akan menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 40 Akta Senjata Api 1960.

sinar/-

Tiada ulasan: