20 Mac 2013

10 batang kabel dilarikan

8 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


10 batang kabel dilarikan

Diburu polis (kiri) Ahmad Firzuan Shah Pasaluddin@Zuan dan (kanan) Mamat Cina @Mamat Embong
MARANG – Sebuah syarikat telekomunikasi tempatan terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM18, 800 angkara kegiatan mencuri kabel di Kampung Rawai di sini, pada malam kelmarin.

Kejadian membabitkan kehilangan 10 batang kabel ‘feeder’ itu hanya disedari kira-kira jam 9 malam selepas juruteknik syarikat terbabit membuat pemeriksaan di pencawang berkenaan apabila menerima aduan gangguan talian daripada pengguna.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya berkata, juruteknik terbabit membuat laporan mengenai perkara itu pada Isnin kira-kira jam 9.35 pagi di Balai Polis Bukit Payung.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Dalam pada itu, polis kini giat memburu seorang lelaki dikenali sebagai Mamat Cina@Mamat Embong, 29, dari Kampung Rawai di sini, untuk membantu siasatan dalam kegiatan mencuri kabel syarikat telekomunikasi sejak lima bulan lalu di Marang.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, polis daerah meminta seorang lagi lelaki, Ahmad Firzuan Shah Pasaluddin, 25, dikenali sebagai Zuan beralamat dari Kampung Kelulut di sini, agar tampil bagi membantu siasatan berhubung kes pecah rumah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua individu terbabit diminta segera ke mana-mana balai polis berhampiran atau ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marang dan boleh menghubungi polis di talian 09-6182222.

Sinar/-

Tiada ulasan: