19 Mac 2013

Isu sepina timbul kembali dalam perbicaraan Ling

7 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Isu sepina timbul kembali dalam perbicaraan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan notis sepina tidak menyatakan dengan khusus tarikh bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga lagi menghadiri prosiding mahkamah sebagai saksi pembelaan.


Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Majid Tun Hamzah memberitahu Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bahawa notis yang diperoleh pasukan pembelaan daripada mahkamah semalam, hanya diserahkan kepada pegawai penyiasat (IO) Supt R Rajagopal kira-kira 2.15 petang ini, oleh peguam utama Dr Ling, K K Wong untuk notis itu diserahkan kepada saksi.

Tun Majid berkata notis bagi empat saksi itu (Najib, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas penasihat ekonomi kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Ali Abu Hassan dan ketua pegawai operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), Datuk Faizal Abdullah, hanya menyatakan mereka perlu hadir di mahkamah pada jam 2.30 petang ini dan esok.

"Notis turut menyatakan tarikh-tarikh seterusnya yang mereka perlu berada di mahkamah. Terdapat dua isu di sini, pertama notis diserahkan kepada IO pada saat akhir dan kedua ia akan menyukarkan IO dalam memastikan saksi hadir di mahkamah,
memandangkan tiada tarikh khusus dinyatakan dalam notis itu," kata Tun Majid ang bercakap bagi pihak pegawai penyiasat itu.


Semalam perbicaraan ditangguhkan selepas Wong gagal memperoleh sepina baru daripada mahkamah mengakibatkan Faizal tidak hadir di mahkamah.

Ahmadi mengarahkan Wong supaya memperoleh sepina baharu dengan menyatakan semua tarikh khusus.

Sebagai rekod, Abdullah, Ali dan Faizal ditawarkan oleh pendakwaan kepada pembelaan di akhir kes pendakwaan.

Dr Ling, 69, didakwa memperdayakan kerajaan dengan tidak mendedahkan kepada Kabinet kadar faedah tambahan 7.5 peratus setahun bagi RM1.088 bilion (pada kadar RM25 setiap kaki persegi) dalam pembelian tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, antara 25 September 2002 dan 6 November 2002.

Beliau turut minta dibicarakan terhadap dua pertuduhan alternatif iaitu menipu yang membawa hukuman lebih ringan.

Sementara itu, dalam prosiding hari ini, saksi pembelaan, akauntan 
bertauliah dari Singapura, Sajjad Ahmad Akhtar, memberi keterangan bagaimana beliau menjalankan pengiraan terperinci berdasarkan kaedah diskaun aliran tunai (DCF) berdasarkan terma yang dipersetujui oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta yang bertindak bagi pihak vendor (Kementerian Kewangan) dalam pembelian 1,000 ekar tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang.


Perbicaraan bersambung esok.

- Bernama

Tiada ulasan: