19 Mac 2013

Hidup mewah hasil jual dadah

7 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Hidup mewah hasil jual dadah

Ab Rashid (kanan) menunjukkan ganja yang berjaya dirampas daripada pasangan suami isteri itu.
KAJANG - Kemaruk untuk hidup mewah melalui jalan pintas mendorong sepasang suami isteri yang bekerja sepenuh masa sebagai tukang urut, menjadi pengedar dadah.

Bagaimanapun, kemewahan yang mereka nikmati melalui kegiatan haram lagi merbahaya itu, tidak bertahan lama.

Lelaki berusia 54 tahun dengan isterinya yang berumur 42 tahun itu ditangkap dekat simpang tiga Kampung Padang, Jalan Sungai Congkak, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pihaknya menemui satu ketulan mampat ganja 300 gram dan 40 paket plastik lutsinar mengandungi ganja seberat 400 gram dalam kereta mewah yang mereka naiki.

“Polis kemudian pergi ke rumah pasangan itu di Taman Jasmin, di sini, dan berjaya merampas enam lagi bungkusan ketulan mampat ganja seberat 3,130 gram, bersama alat membungkus bahan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kajang, semalam.

Katanya, keseluruhan ganja yang dirampas daripada pasangan itu bernilai RM12,250 dipercayai untuk edaran sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah. Lelaki itu mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Pasangan itu ditahan reman tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: