19 Mac 2013

Mada mohon RM64 juta baik pulih sawah jerlus

7 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) telah memohon sebanyak RM64 juta kepada kerajaan pusat bagi membaik pulih 8,107 hektar sawah jerlus dalam kawasan lembaga itu di Kedah dan Perlis.

Pengerusi Mada, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dari jumlah itu, RM35.9 juta sebagai wang ehsan, RM26.7 juta bagi membaiki infrastruktur dan sistem saliran manakala RM1.9 juta lagi untuk pemulihan tanah selepas dibaik pulih.

Katanya 3,870 petani terbabit tidak dapat mengusahakan sawah untuk dua musim bermula musim II/2013 September tahun ini dan musim pertama 2014 bermula Januari, akan dibayar wang ehsan.

"Jumlah sawah terbabit ini hanya mengurangkan pengeluaran beras kawasan Mada tidak sampai lapan peratus dan tidak merisaukan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Mada di ibu pejabatnya di Alor Setar, hari ini.

Mahdzir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu berkata tanah jerlus tersebut ialah dalam Wilayah III Mada (Pendang) seluas 3,975 hektar, Wilayah II (Kubang Pasu) seluas 2,573 hektar dan bakinya di Perlis.

Sementara itu beliau meminta petani mematuhi Jadual Penanaman Padi Musim I/2013 bermula bulan depan supaya musim penuaian tidak terjejas dan musim 2/2013 yang bermula pada September berjalan lancar.

Katanya penanaman padi membabitkan sawah melebihi 100,000 hektar dibuat dalam tiga fasa bermula dengan pelepasan air fasa pertama ke 37,000 hektar sawah pada 11 April.

Tarikh akhir menabur benih (penanaman) ialah 9 Mei manakala fasa kedua meliputi 38,000 hektar mulai 25 April dan tarikh akhir penanaman 23 Mei manakala fasa ketiga (26,000 hektar) bermula 9 Mei dan tarikh penanaman 6 Jun, tambahnya.

Mahdzir berkata jadual itu dibuat bagi mengelak ketidakcukupan jentera pembajak dan menuai padi apabila masak dalam masa serentak.

-Bernama

Tiada ulasan: