07 Mac 2013

MNLF belayar ke Sabah, M'sia perketat kawalan

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belumpun selesai operasi menghapuskan kumpulan penceroboh di Sabah, Pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dari Filipina pula mendakwa sedang menuju ke Lahad Datu untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu itu.

Media Filipina semalam melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Agama Islam MNLF, Habib Hashim Mudjabab mendakwa, kira-kira 10,000 kumpulan gerila kaum Tausung dari Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi sudah belayar ke Sabah.

Menurutnya, kumpulan gerila itu menyertai kumpulan pengikut Sultan Sulu dan mereka kini bersembunyi di sebuah kampung di Sabah melalui sebuah laluan di Filipina dikenali sebagai Southern backdoor (jalan belakang Selatan), laluan yang biasa digunakan pedagang kecil.

Laporan itu turut memetik, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar kumpulan yang telah berjaya membolosi sempadan Sabah tetapi hanya menegaskan ia mencecah ribuan.

Kehadiran mereka itu dipercayai sebagai tindakan balas selepas Malaysia bertindak melancarkan serangan ofensif besar-besaran terhadap kumpulan pengikut sultan Sulu Jamalul Kiram III itu di Lahad Datu kelmarin.

Kumpulan itu sudah tiga minggu berkubu di situ sehingga keganasan meletus minggu lalu yang mengakibatkan lapan anggota polis Malaysia terbunuh.

Kawalan diperketat

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata, pasukan keselamatan Malaysia sudah memperketat kawalan sama ada di periaran mahupun daratan menuju ke Sabah.

Menurutnya, pihak keselamatan kini membuat kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan makanan dan persenjataan kepada kumpulan penceroboh tersebut.

Katanya, pihak polis telah telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, terdapat juga maklumat bahawa pasukan polis Filipina juga megadakan kawalan ketat di perairan mereka bagi menghalang pasukan MNLF belayar menuju ke Sabah.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: