28 Mac 2013

Polis buru 17 ahli Morning Glory

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Polis buru 17 ahli Morning Glory

Polis mahu mendapatkan mereka ini untuk membantu menjalankan siasatan berkaitan kes samun dan pecah rumah.
KUALA LUMPUR - Polis memburu 17 ahli kumpulan ‘Morning Glory’ yang bergiat aktif dalam beberapa kes samun dan pecah rumah di Brickfields dan Cheras sejak sekian lama.

Kesemua 17 suspek berusia antara 30 dan 40 tahun itu juga dipercayai terlibat dalam kes menembak mati seorang lelaki di Jalan Ampang pada 21 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki berusia 31 tahun yang ditembak mati itu dipercayai salah seorang ahli kumpulan berkenaan.

“Motif kejadian, ia berkemungkinan akibat pertikaian dan rasa tidak berpuas hati semasa pembahagian hasil rompakan,” katanya.

Dalam kejadian 21 Mac lalu, mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh beberapa lelaki dengan melepaskan enam das tembakan, di mana empat tembakan terkena pada bahagian kepala, leher dan dada.

Katanya, berhubung kes samun dan pecah rumah pula, suspek berkenaan menubuhkan lima kumpulan kecil yang terdiri daripada tiga hingga enam orang menyasarkan rumah mewah di sekitar Lembah Klang.

“Modus operandi, kesemua suspek itu menggunakan kereta mewah, sebelum memecah masuk rumah antara jam 4 dan  7 pagi dengan memakai topeng ski dan sarung tangan sebelum menyamun dan melarikan kereta milik mangsa.

“Jumlah kerugian pula dianggarkan kira-kira RM1 juta melibatkan 18 kes rompakan yang dilakukan oleh kumpulan itu sejak Januari lalu. Terdapat juga kes mangsa diikat oleh penjenayah terbabit,” katanya.

Menurutnya, ahli kumpulan itu dipercayai tinggal di beberapa buah hotel mewah di sekitar ibu kota sebelum dan selepas melakukan rompakan.

Beliau berkata, empat daripada 17 ahli kumpulan itu pernah ditangkap kerana cuba memecah masuk kediaman milik seorang aktivis sosial pada 28 Oktober, tahun lalu.

“Polis juga pernah memberkas 14 ahli kumpulan tersebut sebelum ini, namun kesemua mereka dibebaskan dengan ikat jamin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: