28 Mac 2013

MB Kedah tidak tahu dalang kurung Phahrolrazi

16 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Datuk Seri Azizan Abdul Razak

Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - “Saya tiada kaitan isu Phahrolrazi dikurung,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berhubung dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan insiden terbabit.

Azizan, yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, beliau tidak tahu menahu pembabitan mana-mana pihak dalam isu terbabit, walaupun timbul dakwaan mengatakan exco kerajaan negeri itu, yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dihalang mengadakan ceramah oleh penyokong pro-Azizan.

“Ketika kejadian, saya tiada di tempat itu, saya ada di tempat lain. Kenapa pula kaitkan saya terlibat? Saya banyak kerja lain untuk dibuat,” katanya.

Azizan turut menafikan dakwaan yang mengatakan penyokong beliau di kawasan Dun Sungai Limau diarahkan untuk menghalang Phahrolrazi mengadakan ceramah di kubu kuatnya.

“Di Kedah, semua penyokong saya sebab saya ketua parti di sini. Tidak timbul isu penyokong saya atau pemimpin lain,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Phahrolrazi dipercayai dikurung pihak tertentu bagi menghalang beliau mengadakan ceramah di Kampung Kabu, Sungai Limau.

Phahrolrazi didakwa ‘dikunci’ selama dua jam di Sekolah Agama Nahdzah Bukit Besar, dalam perjalanan ke lokasi ceramah, yang merupakan kubu kuat Azizan.

Ekoran itu, Pemuda Gerakan Kedah membuat laporan polis berhubung kejadian, 20 Mac lalu, susulan beberapa ahli Pas kawasan Sungai Limau membuat laporan polis, 17 Mac lalu.

Bagaimanapun, bekas pengetua sekolah itu, Nasir Othman menafikan dakwaan, sebaliknya menegaskan beliau hanya menasihati supaya Phahrolrazi tidak hadir ke lokasi ceramah anjuran persendirian itu kerana bimbang berlaku kekecohan. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Ghafar Rajab pada 25 Mac lalu, mengesahkan polis sudah mengambil keterangan beberapa individu yang dipercayai terlibat dengan insiden itu.

Pergeseran antara Azizan dan Phahrolrazi sering dibangkitkan, terutama selepas berlaku krisis exco awal tahun lalu, di mana Phahrolrazi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh enggan angkat sumpah jawatan exco kerana kecewa dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan Azizan dalam isu pentadbiran.

Sejak itu, wujud persepsi kononnya Azizan-Phahrolrazi berseteru dan wujud puak dalam Pas Kedah.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: