29 April 2013

Kereta jentera PKR disimbah cat

18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Tuan Zakaria

Tuan Zakaria menunjukkan kereta Proton Saga miliknya yang disimbah cat, kelmarin.
TANAH MERAH - Di sebalik kehangatan berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) yang berbaki seminggu sahaja lagi, sebuah kereta milik seorang jentera PKR Dun Kemahang disimbah cat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pemilik kereta terbabit, Tuan Zakaria Tuan Mat berkata, keretanya diparkir di hadapan rumahnya dan beliau menyedari kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 pagi di sini, kelmarin.

Menurutnya, kereta jenis Proton Saga itu digunakan beliau sebagai kenderaan utama untuk kegunaan harian dan sempena PRU13 ini, beliau kini sibuk membantu menyelesaikan kerja-kerja menaikkan bendera parti dan memasang sepanduk.

“Ketika pulang dari Kemahang 3 untuk menyelesaikan kerja parti, kereta masih dalam keadaan bersih pada jam 4 pagi, tetapi saya terkejut apabila membuka pintu dan melihat kereta sudah dipenuhi cat seawal jam 8 pagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, hasil daripada pemerhatian di sekitar kawasan berdekatan rumahnya, hanya Proton Saga miliknya sahaja yang disimbah cat dan ia adalah kes pertama di situ.

“Saya tidak ingin menuduh sesiapa, dan saya sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak polis melalui panggilan telefon dan akan membuat laporan di Balai Polis Batang Merbau, dalam masa terdekat,” katanya.

Selain daripada kejadian itu, beliau juga pernah diberi amaran supaya tidak membawa calon yang bertanding kerusi parlimen untuk berceramah di kawasan itu.

“Saya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara ini dengan harapan ianya tidak berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: