30 April 2013

Lagi bilik gerakan disabotaj

19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Bilik gerakan BN Dun Telok Datok


Bilik gerakan BN Dun Telok Datok ini disyaki disabotaj pihak tidak bertanggungjawab
Bom petrol


Bom petrol ditemui di kawasan kejadian.
KUALA LANGAT - Sebuah Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dun Telok Datok di Sungai Jarum, di sini, dibaling bom petrol sekitar jam 4 pagi semalam.


Kejadian bagaimanapun disedari seorang petugas bilik gerakan itu apabila membuka pintu untuk memulakan tugas kira-kira jam 10 pagi.



Ketua MCA Bahagian Kuala Langat, Datuk Ei Kim Hock berkata, bangunan dijadikan bilik gerakan bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu nyaris terbakar apabila terdapat serpihan kain dinyalakan api di dalam satu botol hijau dicampakkan di kawasan terbabit.



Menurutnya, petugas turut menemui kesan terbakar di bahagian lantai dan dinding lalu menghubungi pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.



“Mujur bangunan tidak mengalami kemusnahan serius hingga menjejaskan peralatan kempen, namun ia perlu disiasat.



“Kami tidak menolak kemungkinan ada pihak melakukan tindakan tersebut kerana berlaku beberapa perkara lain sehari sebelum kejadian,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN Telok Datok, semalam.



Dalam pada itu, Kim Hock turut mengesali tindakan sekumpulan lelaki yang cuba membuat kecoh dengan memasang bendera parti lawan di hadapan bilik gerakan BN.



Katanya, bilik gerakan itu menjadi tumpuan mereka untuk memasang bendera, sedangkan terdapat banyak tiang lain di kawasan tersebut.



“Ketika kejadian, petugas saya sempat merakam gambar mereka. Tetapi kesal apabila kumpulan terbabit mengugut sekiranya mengambil gambar, sesuatu akan berlaku ke atas bangunan kami.



“Tindakan ini sengaja dijadikan isu untuk mengancam keselamatan penduduk di sini,” katanya.



Kim Hock dalam kenyataannya berharap pihak berkenaan berhenti mensabotaj parti lawan demi menjaga keselamatan penduduk.



Katanya, cara itu memberi impak kepada masyarakat sekali gus menunjukkan sikap tidak profesional pihak berkenaan dalam berkempen menjelang PRU13.



Berikutan kejadian itu, mereka membuat laporan di Balai Polis Sungai Jarum.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kumpulan terbabit dalam kejadian itu.



Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Sinar/-

Tiada ulasan: