30 April 2013

Pemandu mabuk rempuh rumah

19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Pemandu mabuk rempuh rumah


Keadaan rumah di Taman Perumahan Awam Kuala Kangsar, Jalan Manong, di sini, yang rosak selepas dirempuh sebuah kereta tengah hari semalam.
KUALA KANGSAR – Dua warga emas berdepan detik cemas apabila rumah mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai mabuk dalam kejadian di Taman Perumahan Awam Kuala Kangsar, Jalan Manong, di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 12.30 tengah hari dan mangsa yang sedang menjamu selera ketika itu bernasib baik kerana rempuhan berkenaan tidak mengorbankan nyawa mereka.

Sumber polis memaklumkan pemandu kereta yang berusia 50-an itu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol kerana baru sahaja minum dua botol minuman keras sebelum pulang ke rumah.

Menurutnya, lelaki itu hilang kawalan ke atas keretanya lalu terbabas dan melanggar jeriji besi serta pintu gelongsor di hadapan rumah mangsa sehingga pecah.

"Rempuhan kuat menyebabkan kaca pintu gelongsor rumah mangsa pecah dan bertaburan. Bagaimanapun, dua warga emas  berkenaan terselamat.

"Lelaki berkenaan cuba melarikan diri namun sempat ditangkap oleh orang ramai termasuk jiran mangsa yang melihat kejadian," jelasnya.

Tambahnya, selepas ditangkap lelaki berkenaan cuba memberi alasan kononnya dia cuba mengelak sebuah kereta lain yang berhenti mendadak di hadapannya.

"Bagaimanapun, percubaannya melarikan diri menyebabkan penduduk sangsi dengan alasan yang diberi. Lelaki itu minta maaf berulang kali dan berjanji membayar ganti rugi kepada pemilik rumah.

"Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar. Dia akan disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk," katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: