30 April 2013

Kelantan keluarkan air mineral EAU Choice

19 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Akhirnya kerajaan Kelantan berjaya mengeluarkan air mineral sendiri yang dikenali EAU Choice yang dikeluarkan anak syarikatnya Sihhat-Afiat Sdn Bhd.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, telah melancarkan air berkenaan bagi mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sihhat-Afiat Sdn Bhd adalah syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Projek air tapis itu pula dikendalikan secara usaha sama Tabb Global Sdn Bhd dan Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd.

Majlis berkenaan telah diadakan di ruang legar KB-Mall, di sini petang semalam.

Ahmad Yaacob ketika berucap pada majlis itu berkata masyarakat akan menikmati air mineral yang bersih kerana kedudukannya di tempat yang bersih.

Sambungnya, kilang berkenaan berada di pinggaran Banjaran Titiwangsa serta dikelilingi persekitaran hutan hijau semulajadi.

“Istimewanya kawasan ini terdapat rekahan pada batu-batan di mana celah-celah rekahan itu membantu ladungan yang terkandung air mineral yang berkualiti,”ujarnya.

Sambungnya lagi, lokasi itu dipilih atas nasihat pakar serta kerajsama rapat dari pihak Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan sendiri.

Terdahulu Ketua Pegawai Operasi PMBK, Sanusi Othman ketika berucap pada majlis itu pula berkata, air mineral itu telah dipasarkan pada orang ramai sejak bulan Disember tahun lalu.

Menurutnya, sungguhpun ianya jenama baru, namun sambutannya begitu menggalakan.

“Syarikat juga akan mengeluarkan jenama baru tidak lama lagi sebagai strategi perniagaan syarikat,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu pegawai kanan PMBK serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah PMBK, Fauzi Abdullah dan Mohd Sabri Abdullah.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: