14 Mei 2013

15 maut di Benghazi

4 Rejab 1434 H. [MOD] -

BEBERAPA orang mengerumuni lokasi sebuah bom kereta meletup dekat sebuah hospital di Benghazi semalam.- REUTERS




BENGHAZI - Sebuah bom kereta yang meletup dekat sebuah hospital di bandar ini semalam telah menyebabkan 15 orang terbunuh, kata seorang pegawai semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Abdullah Massoud menyatakan angka tersebut merupakan perangkaan awal selepas letupan tersebut memusnahkan sebuah restoran dan beberapa buah bangunan lain.
Beliau berkata, seramai 30 orang lagi mengalami kecederaan.
Seorang saksi memberitahu, dia mendengar letupan yang kuat semasa kejadian tersebut berlaku.
Serangan itu adalah yang terbaharu selepas sebahagian penduduk berjaya menggulingkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi pada tahun 2011 ekoran kebangkitan rakyat di Asia Barat.
Sebelum ini, empat buah balai polis dibom di bandar ini dalam tempoh beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, serangan tersebut tidak menyebabkan kerosakan teruk dan kematian. Pihak berkuasa menyalahkan golongan radikal Islam berhubung kejadian keganasan yang berlaku di bandar ini.
Pada September tahun lalu, Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya, Chris Stevens dan tiga lagi warga AS terbunuh di Benghazi.
Mereka terbunuh dalam serangan yang berlaku di Pejabat Konsulat AS. - Agensi

Tiada ulasan: