14 Mei 2013

Tamrin cadang tubuh NGO anti perkauman


4 Rejab 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Veteran Umno Datuk Tamrin Ghafar yang kini merupakan ahli PAS mencadangkan penubuhan NGO baru bagi memantau sebarang kenyataan berbaur perkauman.



Beliau menyarankan NGO tersebut dinamakan Gerakan Anti Perkauman (GAP) dan dianggotai seluruh rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan keamanan.

"Kita tubuhkan NGO Gerakan Anti Perkauman dalam masa terdekat ini yang dianggotai oleh seluruh rakyat yang cintakan keamanan.

"Kita akan gerakkan dan akan libatkan peguam-peguam yang akan siasat pemimpin-pemimpin yang keluarkan kata-kata berbaur perkauman," katanya.

Beliau membuat saranan tersebut dalam pidato di Sambutan Hari Bangsa Malaysia - Selamatkan Demokrasi anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.

Di hadapan ribuan hadirin pelbagai kaum yang hadir, Tamrin juga berkata sudah sampai masanya rakyat menolak politik perkauman yang diamalkan Umno.

Menyentuh mengenai kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah yang mengapi-apikan orang Melayu dan Cina, Tamrin mahu beliau disiasat dan dikenakan tindakan.

"Hari ini kita dengar kenyataan Mohd Noor memberi amaran kononnya orang Cina patut bersedia menghadapi kebangkitan orang Melayu.

"Beliau ini patut disiasat, bukan siasat pemimpin Pakatan yang berceramah di Stadium Kelana Jaya minggu lepas.

"Kita ditakutkan dengan isu perkauman. Najib dengan tindakannya, Utusan dengan kata-kata kesat kepada orang Cina. Bagaimana Najib nak melaksanakan 1Malaysia dalam masa sama membenci orang Cina," katanya.

Turut berpidato malam tadi ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, pakar Perlembagaan Prof Aziz Bari, wakil NGO Asal Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim, Presiden Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima) Sulaiman Ibrahim (Leman Raja Lawak) dan pengarah serta penerbit drama Adam Hamid.
harakah/-

Tiada ulasan: