02 Mei 2013

Kempen BN jejas perniagaan di Pasar Jerai?

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kehadiran jentera BN berkempen di Pasar Awam Jerai baru-baru ini didakwa telah menyebabkan golongan peniaga merasa tidak selesa, seterusnya mengakibatkan perniagaan mereka terjejas.
Calon PAS di Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar berkata, sebilangan besar peniaga merungut kehadiran bekas Presiden Umno, Tun Mahathir Mohamad, Calon BN, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan jenteranya menyebabkan perniagaan mereka terjejas.

"Ramai peniaga merungut kepada saya kedatangan jentera BN berkempen menjejaskan perniagaan mereka," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau melahirkan kebimbangan golongan peniaga yang rata-ratanya merasakan kempen BN kali ini banyak memberi masalah kepada rakyat khasnya dalam penggunaan jentera kerajaan.

Selain itu, BN juga dikatakan telah menggunakan premis kerajaan khasnya sekolah, jabatan kerajaan untuk berkempen, sedangkan dalam peraturan ianya suatu yang dilarang.

"Sekiranya kami menerajui Putrajaya sekalipun nanti, kami tidak akan menggunakan kuasa kami seperti mana yang BN buat masuk berkempen ke sekolah, jabatan kerajaan dan agensi tertentu untuk meraik sokongan," katanya lagi.

Sementara itu, Firdaus juga memaklumkan terdapatnya usaha Umno BN menghasut pengundi di sebahagian kawasan kampung di Jerai untuk tidak terpengaruh dengan perkembangan politik semasa.

"Mereka kata kepada pengundi di kampung, jangan peduli hal politik kerana itu urusan pemimpin, hingga ada penduduk yang percaya dan mula merasakan berpolitik itu hak mereka.

"Mereka juga menghasut agar pengundi hanya mendengar saluran maklumat Kerajaan Pusat sahaja. Mereka sekat penyebaran maklumat alternatif yang lebih sahih," katanya lagi.

Beliau yang mendapat 26,510 undi menewaskan calon BN, Datuk Badruddin Amiruldin dengan majoriti 2,299 undi pada PRU12 lalu. Pada PRU13 ini, beliau ditentang oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengundi di Parlimen Jerai pada PRU13 ini seramai 74,583 orang dengan pecahan Melayu sebanyak 79.11 peratus, Cina (13.99%), India (6.31%) dan lain-lain (0.59%).

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: