02 Mei 2013

Rumah kakak Pengerusi MCA Gelang Patah disimbah cat merah

21 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Rumah kakak Pengerusi MCA Gelang Patah disimbah cat merah

Mangsa (tengah) menunjukkan gambar kediamannya yang disimbah cat.
GELANG PATAH – Kakak kepada Pengerusi MCA Gelang Patah, Jason Teoh Sew Hock terkejut apabila kediamannya di Taman Nusa Peritis 1, di sini, disimbah cat merah ketika baru pulang daripada berniaga kira-kira jam 12 malam, semalam.

Mangsa, Teoh Sou Lim, 56 mengakui bingung mengenai motif di sebalik insiden itu kerana tidak pernah mempunyai hutang dengan ceti haram atau ah long atau bermasalah dengan mana-mana individu.

Menurutnya, namun dia memaklumkan sejak akhir-akhir ini dia begitu aktif membantu adiknya berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Saya tak ada hutang ah long. Setiap hari saya lalui rutin sama keluar berniaga pada sebelah pagi dan pulang ke rumah pada tengah malam, tidak mungkin saya ada musuh.

“Mungkin cat itu dilemparkan di hadapan kediaman saya tidak sampai sejam sebelum saya dan anak sampai ke rumah sebab kesannya masih baru,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sou Lim berkata, tiada sebarang saksi yang melihat kejadian itu, namun dia mengakui tiada menerima sebarang ugutan daripada mana-mana pihak sebelum ini.

Anak mangsa, Chan Meng Fai membuat laporan polis berhubung kejadian itu, di Balai Polis Gelang Patah pada hari yang sama.

Sementara itu, Jason Teoh turut memaklumkan anak saudaranya, Chan Meng Wee, 29 juga anak mangsa turut aktif menyertai kempen pilihan raya membantu calon BN.

“Sebelum kejadian ini ahli  kami turut dipukul ketika menyertai aktiviti kempen, namun disebabkan keselamatan mangsa enggan tampil di media dan ambil keputusan undurkan diri daripada aktiviti kempen.

“Saya harap kejadian ini tidak akan berulang, jika benar ia bermotif politik ia tidak sepatutnya berlaku kerana setiap penyokong perlu kawal emosi jangan  bertindak ikut perasaan,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: