03 Mei 2013

Kesalahan pilihan raya untuk sediakan penerbangan bagi pengundi, kata Ambiga

22 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 Mei — “Rakan-rakan” Barisan Nasional (BN) telah melakukan satu kesalahan pilihan raya dengan menerbangkan pengundi dari Malaysia timur ke negeri-negeri utama di semenanjung, kata peguam kanan Datuk Ambiga Sreenevasan.

Ambiga (gambar) yang merupakan pengerusi Bersama Bersih 2.0 juga berkata penerbangan sebegini “sangat mencurigakan” dan membangkitkan kebiasaannya penduduk Sabah dan Sarawak bekerja di semenanjung yang terbang pulang ke negeri Borneo itu dan bukan sebaliknya.
“Ia merupakan kesalahan di bawah 20(6)(b),” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider lewat malam tadi merujuk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ambiga juga mengatakan di bawah seksyen tersebut, pengundi boleh diterbangkan ke tempat mengundi mereka menyeberangi laut, akan tetapi pengangkutan sedemikian perlu disediakan kepada semua pengundi.
Beliau berkata, bagaimanapun, oleh kerana penerbangan itu disediakan oleh “rakan-rakan” BN, adalah mungkin penerbangan hanya bagi mereka yang mengundi untuk gabungan itu.
“Kamu mesti berikan kepada semua. Itu ujiannya. Kamu tidak boleh selektif,” kata Ambiga.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengakui semalam pengundi diterbangkan ke semenanjung, tetapi menegaskan ianya ditaja oleh “rakan-rakan” BN sebagai sebahagian daripada kempen parti “keluar mencari undi” untuk Pilihan Raya 2013.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan semalam terdapat 40,000 pengundi diragui, termasuk rakyat asing dari Sabah dan Sarawak telah diterbangkan masuk dari Sabah dan Sarawak semenjak minggu lepas ke negeri-negeri utama di semenanjung seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri menafikan sebarang penglibatan berhubung dakwaan Pakatan Rakyat (PR) rakyat Malaysia dan juga warga asing diterbangkan ke semenanjung untuk mengundi pada pilihan raya umum, Ahad ini.
Syarikat penerbangan nasional MAS juga telah menafikan dakwaan ia akan menggerakkan penerbangan sewa khas untuk mengangkut pengundi hantu.
Ambiga mendesak BN untuk mendedahkan senarai penuh pengundi yang diterbangkan ke semenanjung dan dimana mereka akan mengundi pada pilihan raya dilihat paling sengit dalam sejarah semenjak Merdeka.
“Mereka harus kedepan dan beritahu kita cerita penuh — siapa mereka, nama mereka, dimana mereka akan mengundi dan apakah mereka ada bantahan jika ada yang mahu menemuramah mereka,” kata bekas presiden Majlis Peguam itu.
“Adakah penduduk Malaysia barat ini menetap atau bekerja di Malaysia timur? Mengapa mereka dalam kumpulan besar hanya di beberapa kawasan Malaysia barat? Tambah beliau.
Ambiga juga menyelar dakwaan Tengku Adnan penerbangan sebegini merupakan amalan biasa semasa pilihan raya, mengatakan: “Beban Pesawat sangat luar biasa”.
Hampir 28 peratus daripada penduduk Sabah merupakan warga asing, berjumlah kira-kira 889,000 orang, rakyat asing yang kebanyakkannya datang dari Filipina dan Indonesia.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah, yang bermula Januari lalu mendedahkan testimoni rakyat Filipina dan warga asing lain tentang bagaimana mereka menerima kad pengenalan biru dalam masa beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan mengundi dalam pilihan raya.
malaysian insider/-

Tiada ulasan: