27 Jun 2013

Dakwat kekal: PR desak SPR dedah nama syarikat

dakwat kekal
18 Syaaban 1434 H. [MOD] -


LUMPUR – PR terus mendesak SPR mendedahkan nama syarikat yang membekalkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 lalu kerana mendakwa syarikat tersebut gagal menyediakan dakwat yang berkualiti.


Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) berkata, SPR dan kerajaan juga sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal tersebut dan menuntut ganti rugi kerana bahan tidak mematuhi spesifikasi.
Menurutnya, alasan demi alasan yang diberikan SPR seolah-olah menggambarkan badan tersebut cuba melindungi syarikat tersebut dan ia tidak langsung menimbulkan pelbagai persepsi negatif.
“Alasan SPR tidak mendedahkan nama syarikat itu atas sebab keselamatan tidak boleh diterima, kita sudah pun selesai mengadakan PRU13. Bagaimanakah maklumat pembekal dakwat kekal itu boleh menimbulkan masalah keselamatan?” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Selain itu, Anthony turut mempertikaikan kos dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 adalah sebanyak RM7.1 juta sedangkan pada PRU12 lalu, kos pembelian adalah RM2.4 juta namun dimusnah selepas tidak digunakan pada PRU tersebut.
Katanya, peningkatan kos ini adalah tidak logik kerana pada PRU12, jumlah pengundi adalah 10,922,139 manakala pada PRU13 adalah seramai 13,268,002 orang, pertambahan kira-kira 20 peratus.
“Mengapakah pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus boleh menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal dari RM2.4 juta kepada RM7.1 juta, peningkatan tiga kali ganda?
“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara? Bagaimana kerajaan boleh membeli dakwat kekal yang tidak kekal untuk pilihan raya, ia menjadi bahan ketawa seluruh dunia,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah bergantung kepada individu dan usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal itu.
Beliau berkata ujian yang dibuat ke atas pegawai SPR dan pekerja media pada 2 Mei lepas membuktikan dakwat itu kekal seperti yang ditetapkan.
Shahidan berkata dakwat itu antara lain dihasilkan dengan menggunakan bahan pewarna makanan yang diluluskan.
   
Beliau berkata sebanyak RM400 juta telah diluluskan Kementerian Kewangan untuk menampung segala perbelanjaan PRU13 lepas.
Sementara itu, Shahidan berkata kos keseluruhan penggunaan dakwat kekal dalam PRU13 ialah RM7.1 juta yang meliputi pelbagai proses.     
Beliau berkata RM6.9 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja reka bentuk botol dakwat khas, berus, kotak botol dan membuat bancuhan khas dakwat.


harakah/-

Tiada ulasan: