20 Jun 2013

Himpunan aman Black 505 diteruskan

11 Syaaban 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan perhimpunan aman Black 505 pada 22 Jun ini diteruskan seperti yang dirancang.


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjelaskan mesyuarat mingguan Pakatan Rakyat juga turut mengajak seluruh kepimpinan parti-parti Pakatan Rakyat, aktivis, penyokong dan rakyat jelata yang cintakan demokrasi agar bersama-sama pada perhimpunan tersebut.



Katanya lagi, walaupun terdapat bantahan dari pihak tertentu, perhimpunan tersebut akan berlangsung sepertimana yang dirancang sebelum ini iaitu di Padang Merbok pada jam 2 petang.



"Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) merupakan pilihanraya paling buruk dalam sejarah negara, ia mencatatkan jumlah aduan paling tinggi dari rakyat dan parti dengan jumlah petisyen yang paling banyak dicatat.



"Atas desakan penyelewengan dan kelemahan yang berlaku, Pakatan Rakyat mengajak seluruh penyokong dan rakyat hadir menyertai himpunan pada 22 Jun nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS.



Menurut beliau lagi, atas perkara asas yang menjadi bukti kelemahan pengendalian pilihanraya umum kali ini adalah penggunaan dakwat kekal yang dijanjikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hasil dari ketetapan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai penambahbaikan SPR.



Jelasnya, isu dakwat kekal menjadi antara perkara pokok yang dijanjikan kepada rakyat Malaysia dan dimaktubkan dalam Akta Pilihanraya.



Namun perkara itu telah menimbulkan persoalan apabila penggunaan dakwat kekal tidak kekal sepertimana yang telah dijanjikan sebelum ini sehingga mengakibat berlaku penyelewengan serta penipuan pada PRU13 yang lalu.



"Atas kecuaian dalam penggunaan dakwat kekal kita menuntut ke semua Ahli Suruhanjaya SPR terutamanya pengerusi dan timbalan pengerusi meletak jawatan dengan segera.



"Setelah itu perlantikan Ahli Suruhanjaya yang baru perlu dilakukan dengan menggunakan mekanisma yang lebih baik bagi memastikan ketelusan mereka yang dilantik mengendali SPR," sambung beliau.



Anwar yang turut menegaskan, persempadanan semula kawasan parlimen dihentikan sehingga Persuruhjaya SPR baru dilantik.



Beliau yang turut meminta agar pilihanraya semula di 30 Parlimen di bawah Pesuruhjaya yang baru diadakan semula.



Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pada sidang media yang sama memberitahu Pakatan Rakyat tidak dapat menerima kenyataan 'kesal' yang dikeluarkan oleh Pengerusi SPR sebelum ini mengenai dakwat kekal.



"Kita tidak boleh menerima 'kesal' dari Pengerusi SPR mengenai penggunaan dakwat kekal, jika sebelum ini beliau sentiasa menafikan apa yang kita katakan kenapa selkarang baru hendak kesal.



"Pelbagai alasan diberikan seperti kena goncang sebelum menggunakannya, masalah pembekal serta mendapat nasihat dari pihak kesihatan, ke mana hilangnya alasan-alasan tersebut," tegasnya.



Beliau yang mendesak agar Pengerusi SPR bertanggungjawab dengan meletakkan jawatan atas apa yang berlaku terutamanya penggunaan dakwat kekal.



Dalam masa yang sama beliau juga berharap seluruh ahli PAS dapat meluangkan masa untuk hadir pada perhimpunan aman Black 505 di Padang Merbok nanti.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: