20 Jun 2013

Larian Olimpik ditunda kerana jerebu

11 Syaaban 1434 H. [MOD] -


Larian Hari Olimpik pada Ahad ini yang menggunakan Padang Merbok Kuala Lumpur ditunda ekoran masalah jerebu yang melanda negara ini.

Ia sekali gus dilihat membuka peluang kepada Pakatan Rakyat yang berkeras mahu menggunakan kawasan itu untuk perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya Black 505 di tempat itu pada Sabtu ini.
Sebelum ini, penganjuran larian itu - yang akan menggunakan kawasan itu bermula Sabtu - menjadi alasan penolakan permohonan Pakatan menggunakan tempat sama.

Penangguhan larian itu diumumkan di laman Facebook Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai penganjur dan McDonald's Malaysia sebagai penaja acara sukan itu.

"Sehubungan itu, setelah berbincang dengan MOM, kedua-dua McDonald's Malaysia dan MOM telah mengambil keputusan untuk menunda Larian Hari Olimpik yang dijadualkan pada 23 Jun 2013, memandangkan aktiviti luar yang berpanjangan boleh menjejaskan kesihatan," menurut kenyataan itu. 

Pengurusan jenama makanan segera popular itu juga mengumumkan, kesihatan dan kesejahteraan semua peserta, termasuk kanak-kanak yang dijangka menyertai acara itu menjadi keutamaan mereka.

Maklumat lanjut berhubung acara itu akan diumumkan kemudian.


Malaysiakini/-

Tiada ulasan: