24 Jun 2013

Kenyataan Akhbar Berhubung Penahanan YB Dato Hj Husam Bin Musa.

15 Syaaban 1434 H. [MOD] -

1. Pas Kelantan melahirkan rasa kesal di atas sikap pihak polis Daerah Kota Bharu yang tidak membenarkan YAB Us Dato Hj Ahmad Yaakob, MB Kelantan berjumpa dengan YB Dato Hj Husam Musa semasa lawatan beliau di IPD Kota Bharu pada tengahari tadi.


Sepatutnya pihak polis menggunakan budi bicara membenarkan YAB Dato MB atas sifatnya sebagai ketua kerajaan melawat dan berjumpa dengan YB Dato Hj Husam Musa, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan yang juga Naib Presiden PAS sedangkan kebenaran itu boleh diberikan dengan budi bicara Ketua Polis Daerah.

Lebih menyedihkan lagi apabila ada maklumat mengatakan ada arahan dari pihak atasan untuk tidak membenarkan YAB Dato MB Kelantan berjumpa dengan YB Dato Hj Husam Musa.

2. Pas Kelantan juga merasa kesal dengan tindakan pihak polis menahan YB Dato Hj Husam Musa dalam kes sebegini. Sebagai seorang pemimpin yang dihormati dan dikenali ramai, juga tidak mempunyai sebarang rekod yang tidak baik, YB Dato Hj Husam Musa boleh dipanggil pada bila-bila masa sahaja dan beliau boleh memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan tanpa memerlukan tahanan reman.

3. Kita juga mempersoalkan kenapa tindakan diambil hanya selepas sebelas hari kenyataan beliau dibuat iaitu semasa himpunan di Ketereh baru-baru ini. Kita mendesak supaya pihak polis segera membebaskan YB Dato Hj Husam Musa dan kita member jaminan bahawa beliau akan member kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan. Kita juga mendesak pihak polis agar tidak membuat sebarang telahan dan andaian yang tidak wajar bagi meneruskan tahanan atau mendakwa beliau di atas sebarang dakwaan kesalahan yang tidak beliau lakukan atau niat untuk melakukannya.

4. Seluruh kepimpinan Pas Kelantan mendoakan agar YB Dato Hj Husam Musa serta keluarga tabah berhadapan dengan ujian ini. Pas Kelantan jua menyeru seluruh Rakyat Kelantan, semua pendokong dan ahli Pas dan setiap orang yang cintakan keadilan agar berdoa agar YB Dato Hj Husam dan seluruh ahli keluarganya diberikan kekuatan dan kesabaran bagi menempuh cobaan dalam perjuangan besar beliau.

Dato Dr. Mohamed Fadzli Hassan
Ketua Penerangan Pas Kelantan

Tiada ulasan: